KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengubal dasar yang jelas terutamanya bidang kuasa (jurisdiksi) pengeluaran lesen untuk menjual hasil kelapa sawit bagi pengusaha ladang and peladang kecil sawit di negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib, berkata ini penting bagi merealisasikan hasrat pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0: 2021-2025 yang meletakkan sektor pertanian sebagai salah satu daripada tiga sektor keutamaan dan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi.
“Oleh yang demikian, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah dan semua jabatan serta agensi dibawahnya memainkan peranan penting bagi merealisasikan aspirasi pelan SMJ dengan jayanya.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, GRS perlu menggubal dasar yang jelas terutama bidang kuasa (jurisdiksi) Pengeluaran Lesen untuk menjual hasil Kelapa sawit bagi pengusaha ladang dan Peladang kecil sawit dinegeri Sabah.
“Untuk memacu negeri Sabah supaya negeri ini benar-benar menjadi kuasa besar pertanian, Lembaga Sawit Sabah perlu diwujudkan segera,” kata James, yang juga merupakan Pembantu Menteri 1 Pertanian dan Perikanan Negeri, dalam kenyataan medianya pada Ahad.
James berkata dia tertarik pada satu perkongsian di media sosial yang mengatakan sekarang ini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan pengeluar lesen untuk menjual sawit kepada pengeluar buah sawit (peladangan dan pekebun kecil sawit PKS) di Sabah.
Menurut perkongsian tersebut, kebanyakkan PKS di Sabah adalah samaada petani yang memiliki tanah secara sah (bergeran), pemilik tanah berstatus Permohonan Tanah (PT) (yang belum ada atau sudah disahkan oleh Pegawai Pemungut Hasil Tanah PPHT), atau ada yang menanam secara haram tanpa bergeran dan PT.
Dalam kerancakan penanaman sawit dan didokong pula oleh insentif skim bantuan penanaman baru atau penanaman semula yang diperkenalkan oleh MPOB maka ramai petani membuka tanah walaupun tiada geran atau hanya baru PT.
Dan tidak terkecuali mereka menanam secara haram di mana-mana kawasan kosong.
Setelah penanaman sawit matang para PKS mahu menjual buah mereka, MPOB tiada pilihan melainkan mengeluarkan lesen menjual walaupun tanah masih dalam permohonan PT atau PT yang diragukan kesahihannya.
PKS menuntut atas alasan kenapa kerajaan bagi subsidi tapi tidak mengiktiraf pemilikan tanah mereka? Ini menimbulkan konflik sebab tanah adalah kuasa negeri dan subsidi/skim bantuan adalah kuasa Persekutuan.
Isu pemilikan tanah ini juga ketara apabila sektor sawit mula mewajibkan amalan pensijilan iaitu RSPO. Pada masa yang sama versi persijilan negara iaitu MSPO juga diperkenalkan. Dalam apa-apa juga pelesenan salah satu elemen wajib ialah pemilikan tanah perlu sah/legal.
Lanjutan dari itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu merayu kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan geran kepada semua PKS Sawit. Dasar Kerajaan Negeri ialah meneliti dan meluluskannya jika PT tersebut disahkan oleh PPHT.
Maka terdapat ramai PKS yang tidak dapat diberi geran atau disahkan PTnya disebabkan oleh pelbagai issue seperti permohonan bertindih. Ini akibat MPOB meluluskan saja permohonan PT sebelum ini.
Apabila MPOB mewujudkan Jawatankuasa Meluluskan Skim Bantuan yang dihadiri oleh Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, Jabatan Pertanian maka permohonan selanjutnya sudah teratur. Tidak diluluskan tanpa persetujuan kerajaan negeri.
Persoalannya, bagaiman para PT PKS terdahulu? MPOB minta kerajaan negeri yang menyelesaikannya walaupun dilihat kecuaian ini dilakukan oleh MPOB pada mulanya. Sebaiknya semua perihal pelesenan yang berkaitan dengan tanah dan penanaman seharusnya di bawah kawalan kerajaan negeri.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri berusaha membantu pekebun-pekebun kecil ini mendapatkan geran dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif iaitu pengeluaran geran secara Communal Title dan Program Pantas. Ini akan membantu pekebun-pekebun kecil untuk urusan mendapatkan persijilan MSPO oleh MPOB menerusi pendekatan “Smallholder Palm Oil Cluster (SPOC)”.
Ekoran dari ini dan beberapa cadangan mewujudkan enakmen yang bertujuan untuk menjajarkan semula kuasa negeri yang sepatutnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Mungkin dengan penubuhan Lembaga Sawit dan Lembaga Padi seperti yang diura-urakan akan memulihkan semula kuasa-kuasa yang sepatutnya kepada negeri Sabah. – Pr/BNN