2,185 rumah PPRT bina baru dan baik pulih di Sabah tahun ini: Ewon

0
22
Ewon (dua dari kiri) bergambar bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew (kanan), Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr.Yusof Yacob (kiri) dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, bergambar bersama sebelum persidangan bermula.
KOTA KINABALU: Kerajaan akan membina sejumlah 2,185 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah program baik pulih dan bina baru seluruh Sabah tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,740 rumah PPRT baik pulih dan 445 buah PPRT bina baru akan dilaksanakan di seluruh Sabah oleh agensi-agensi pelaksana di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan seperti Giat Mara dan Felcra.“Bagi Fasa 1, sejumlah 225 buah PPRT bina baru akan dilaksanakan dan untuk daerah Ranau merangkumi kawasan Dewan Undangan N egeri (DUN) Paginatan, pada tahun ini, akan mendapat 15 buah PPRT bina baru dan 50 buah baik pulih,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir yang bertanya adakah kementerian bercadang membina rumah PPRT dan baikpulih rumah di kawasan Paginatan.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, PPRT adalah dibawah KPLB Persekutuan dan jumlah rumah PPRT bina baru yang akan dibina adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh KPLB Persekutuan.

“Objektif utama PPRT adalah meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaikpulih tempat kediaman mereka dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan lisan Adun Likas Tan Lee Fatt yang bertanya sama ada masih ada rakyat khususnya luar bandar yang tidak tahu peranan dan program yang disediakan oleh KPLB dan agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan, Ewon berkata, KPLB Sabah telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti Karnival Usahawan Desa dan Dialog Usahawan Kecil Desa untuk memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan KPLB.

Selain itu katanya, KPLB juga menyertai pameran-pameran melibatkan keusahawanan desa seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Pesta Kudat, Pesta Gata Sipitang, Regatta Lepa Semporna, Festival Beaufort, Tadau Kaamatan serta pameran-pameran lain yang dianjurkan oleh kementerian.

“Pejabat-Pejabat Daerah di bawah kawal selia pentadbiran KPLB Sabah juga turut memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, perkhidmatan dan kepimpinan, rujukan, maklumat, bantuan, penyelarasan pelbagai program kerajaan, pelaksanaan dasar dan undang-undang serta nadi pentadbiran dan imej kerajaan di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web kementerianvhttp://www.sabah.gov.my/kplb untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Justeru, rakyat Sabah termasuk di kawasan pedalaman mempunyai akses maklumat kepada peranan dan program yang disediakan oleh KPLB Sabah,” katanya.

Beliau berharap pejabat-pejabat perhubungan Wakil Rakyat dapat membantu menghebahkan peranan dan program yang disediakan KPLB Sabah.

Bagi menjawab soalan Adun Kundasang Datuk Dr.Joachim Gunsalam yang bertanya apakah status terkini Ladang Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kg Mansalu, Ulu Sugut dan adakah kerajaan bercadang untuk menambah atau membina kemudahan asas di kawasan itu untuk para pesert MESEJ Ewon berkata, berdasarkan laporan terkini Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), ladang sawit MESEJ Mansalu sudah matang dan boleh dituai yang akan memberi manfaat kepada 23 orang peserta.

Katanya lagi, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM17.5 juta di bawah Program Jalan Luar Bandar (JLB) untuk menyelenggara jalan perhubungan ke MESEJ Mansalu sejauh 4.70 kilometer yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan telah siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun, projek perumahan untuk kediaman peserta serta kemudahan infrastruktur lain yang berkaitan hanya dapat disediakan tertakluk kepada peruntukan yang tersedia,” katanya.-pr/BNN