Wahai Datuk VK Liew, apakah kita rakan kongsi setara atau bukan…

0
23
Ir. Aziz Julkarnain

KOTA KINABALU: Kalau setakat ubah, keluarkan Sabah dan Sarawak (SS) dari Artikel 1(2)(a), untuk dimasukkan dalam Artikel 1(2)(b) dan tidak pun mengubah fungsi Kerajaan Negeri sebagai rakan kongsi setara sebenar dalam federalisme, maka tidak perlulah bekerja siang dan malam.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata demikian bila mengulas kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong, bertarikh 14 April, 2019,

Kenyataan Liew yang di siarkan di portal Borneotoday.net  “Walaupun percubaan gagal untuk mendapatkan persetujuan Rang Undang-undang yang diusulkan, kita semua dari PMO, BHEUU, AGC dan Parlimen masih mampu berasa berbangga kerana kita telah bekerja sebaik yang kita mampu, dan telah melaksanakannya tanpa mengira masa dan penat lelah, dengan harapan para Ahli Parlimen dapat mengundi dalam Dewan Rakyat dengan bebas dan secara demokrasi seperti yang diamalkan oleh negara kita.”

Ir. Abdul Aziz  berkata kalau bukan sebab pembangkang bersuara, dan membantah sekeras-kerasnya di parlimen, pastinya rakyat Sabah dan Sarawak sudah ‘TERPEDAYA’ dengan pindaan tersebut, yang tidak membawa sebarang makna dan maksud apa-apa pun, malah ianya benar-benar mengkhianati hasrat rakyat agar hak status SS dapat dikembalikan. (Bacaan Pertama tidak meletakkan perkataan “Negeri-Negeri Tanah Melayu” dan “Negeri-Negeri Borneo”).

Menikut beliau, walaupun bekerja ‘tanpa mengira masa dan penat lelah’, mereka masih boleh melakukan ‘KESILAPAN BESAR’ apabila terlupa meletakkan “Negeri-Negeri Tanah Melayu” dan “Negeri-Negeri Borneo” di dalam Bacaan Pertama.

Walaupun sudah memasukkan perkataan “Negeri-Negeri Tanah Melayu” dan “Negeri-Negeri Borneo” dalam Bacaan Kedua, namun ‘semangat MA63’ tidak diterjemahkan dalam pindaan tersebut, katanya.

“Apakah sebenarnya status SS yang ingin dikembalikan seperti janji manifesto PH? Adakah SS ini hanya sebahagian daripada negeri-negeri di Malaysia atau SS ini, adalah ‘rakan kongsi setara’ dengan Sarawak dan Tanah Melayu? Ini tidak jelas dalam pindaan tersebut, yang menyebabkan ahli-ahli parlimen pembangkang mengambil pendirian berkecuali dan tidak bersetuju.”

Ir Abdul Aziz berpendapat bahawa Datuk VK Liew dan pasukannya sepatutnya menggunakan masa dan ruang yang diberi, untuk mempastikan hak dan status sebenar SS dikembalikan sebagaimana janji-janji mereka dalam manifesto Pilihanraya yang lepas iaitu “10 JANJI 100 HARI”.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah mereka cuba menyalahkan rakyat yang mahukan keadilan, diberikan kepada SS sebagaimana aspirasi pembentukan Malaysia sepertimana yang dicita-citakan oleh Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam perbahasan parlimen pada 28 April 1962 di mana beliau telah berkata,

“…when the Borneo territories become part of Malaysia, they will cease to be a colony of Britain, and they will not be a colony of Malaya – I thought I had made it clear – they will be partners of equal status…” – Tunku Abdul Rahman, 1962

“Apakah rakyat SS yang membantah pindaan rang undang-undang tersebut melalui wakil-wakil rakyat mereka, adalah pihak yang bersalah apabila meminta Datuk VK Liew dan pasukannya memperbaiki pindaan tersebut agar selari dengan semangat dan aspirasi pembentukan Malaysia pada tahun 1963? Jawapannya hanya pada Datuk VK Liew dan pasukannya,’ kata beliau.

“Wahai Datuk VK Liew, generasi ini dan generasi yang akan datang pastinya akan berulang-ulang berbicara tentang pindaan ini tanpa mengira masa dan tempat. Mereka akan mengutuk dan mengecam kegagalan pemimpin-pemimpin pada hari ini, meminda apa yang berhak dan sepatutnya sebagaimana yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.”-pr/BNN