KOTA KINABALU: Danau Girang Field Centre (DGFC) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, melancarkan program Wild Weekend at the Library 2026 Sabtu lalu, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hidup bersama hidupan liar secara harmoni.
Program tahunan bertemakan “One Shared Home” (Satu Rumah, Dikongsi Bersama) itu turut dianjurkan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), dengan menyasarkan kanak-kanak, keluarga dan masyarakat umum menerusi pendekatan pendidikan sains serta alam semula jadi.
Selepas majlis pelancaran, peserta mengikuti beberapa sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh pakar pemuliharaan dan petugas lapangan daripada JHL, Seratu Aatai, Pangolin Aware serta DGFC.
Program berkenaan turut menghimpunkan penyelidik hidupan liar, wakil kerajaan, peniaga tempatan, ibu bapa dan pelajar, termasuk lebih 500 murid serta guru dari beberapa sekolah sekitar Sabah, antaranya SK Linayukan Tongod, SK Kaiduan Papar, SJKC Yuk Yin Keningau, SK Luagan Beaufort dan SK Bundu Tuhan Ranau.
Menerusi program itu, peserta didedahkan kepada kaedah praktikal bagi membolehkan manusia dan hidupan liar ikonik Sabah hidup bersama dengan selamat, selain memahami kepentingan berkongsi landskap, sungai dan habitat semula jadi tanpa menjejaskan keselamatan kedua-dua pihak.
Pengarah DGFC, Profesor Benoit Goossens, dalam ucapan perasmian berkata, Sabah terkenal di peringkat dunia dengan spesies seperti gajah Borneo, tenggiling dan buaya, namun usaha pemuliharaan perlu bermula di peringkat komuniti serta kehidupan seharian.
Beliau berkata, manusia dan hidupan liar di Sabah tidak hidup dalam dunia yang terpisah, sebaliknya berkongsi landskap, laluan air dan perubahan musim, sekali gus memerlukan masyarakat memahami tingkah laku haiwan serta langkah keselamatan ketika berhadapan dengannya.
“ hidup bersama tidak bermakna kita mengabaikan ketegangan atau risiko yang wujud. Sebaliknya, kita perlu belajar memahami tingkah laku hidupan liar, mengetahui perkara yang menjamin keselamatan manusia dan haiwan, serta mencari cara praktikal untuk hidup bersama dengan penuh rasa hormat,” katanya.
Selain sesi perkongsian, program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung semua peringkat umur, termasuk pertandingan lukisan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang mengetengahkan gambaran mereka mengenai persekitaran yang dikongsi bersama manusia dan hidupan liar.
Pengunjung turut berpeluang melawat reruai pemuliharaan, menyokong peniaga tempatan, mengumpul cop menerusi pasport reruai interaktif serta menyertai cabutan bertuah.
Program tahunan itu turut menerima tajaan bersama daripada ADUN N.27 Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Mohd Sharin Mujin.
Goossens berkata, usaha pemuliharaan bukan hanya tertumpu di kawasan hutan atau pusat penyelidikan, sebaliknya turut bermula melalui cara masyarakat mendidik anak-anak mengenai alam semula jadi, melayan haiwan yang ditemui serta menjaga persekitaran yang menjadi tempat tinggal bersama.
Beliau berkata, kesedaran dan tindakan kecil dalam kehidupan seharian mampu memainkan peranan penting dalam memastikan manusia dan hidupan liar dapat terus hidup bersama secara harmoni.-BNN




