KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal didakwa memainkan politik persepsi dengan mengulangi naratif negatif terhadap kerajaan negeri, sedangkan pencapaian ekonomi, pembangunan dan usaha memperjuangkan hak Sabah perlu dinilai berdasarkan fakta serta rekod.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan politik yang hanya membangkitkan kemarahan, sebaliknya menilai prestasi kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berdasarkan perkembangan sebenar negeri.
Beliau berkata, dakwaan Sabah mengalami kegagalan ekonomi perlu dinilai dengan mengambil kira data pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak 5.1 peratus, mencecah RM88.8 bilion, selain pelaburan RM14.55 bilion dan hasil negeri yang mencapai RM7 bilion.
Aksyah turut membandingkan perkembangan ekonomi itu dengan angka pertumbuhan KDNK Sabah pada 2017 hingga 2020, yang menurutnya menunjukkan penurunan daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018, 0.5 peratus pada 2019 dan negatif 9.2 peratus pada 2020, sambil mempersoalkan penilaian pihak yang mengkritik prestasi ekonomi kerajaan semasa.
Mengulas isu infrastruktur, beliau berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menangani cabaran bekalan air, elektrik dan jalan raya menerusi pelbagai projek pembangunan, termasuk kesinambungan pakej Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan empangan dan loji rawatan air baharu, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu serta talian penghantaran Southern Link.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang mempunyai peruntukan pembangunan RM12.02 bilion, bagi memperkukuh kemudahan asas dan pembangunan negeri.
Aksyah berkata, isu pembangunan infrastruktur Sabah perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk mengambil kira perancangan, pelaksanaan dan kesinambungan projek yang diwarisi serta usaha kerajaan semasa menangani keperluan rakyat, bukannya dijadikan bahan polemik politik semata-mata.
Mengenai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, beliau berkata, rakyat perlu menilai usaha serta pencapaian setiap pentadbiran dalam memperjuangkan hak negeri, termasuk perkembangan rundingan dan pengiktirafan berkaitan kepentingan Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Hajiji meneruskan rundingan berkaitan hak Sabah, termasuk pengiktirafan hak negeri di bawah MA63, kuasa kawal selia tenaga dan gas, perkongsian hasil minyak dan gas serta kerangka penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.
Aksyah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi atau naratif politik yang mengelirukan, sebaliknya membuat penilaian berasaskan fakta, rekod dan perkembangan sebenar kerana masa depan Sabah serta generasi akan datang perlu menjadi keutamaan.-pr/BNN




