KENINGAU: Usahawan muda yang benar-benar memerlukan dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan perlu dibantu oleh pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan yang berkaitan.

Menurut Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert berharap agar agensi-agensi kerajaan dapat memberi peluang untuk membantu usahawan yang mempunyai cita-cita yang tinggi untuk maju dan seterusnya dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan anak muda yang berjaya.

Katanya, beliau mengambil contoh salah seorang usahawan anak muda iaitu Rosleenizam Bin Maditin di Kampung Merampong, di sini yang mengusahahakan produk kraftangan iaitu parang.

Katanya, produk yang dihasilkan oleh beliau mempunyai keunikan dan identitinya sendiri dan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan yang lumayan.

“Beliau yang berumur 36 tahun baru sahaja memulakan perniagaannya dan kini telah banyak menerima tempahan daripada luar dan dalam daerah Keningau.

“Apa yang menarik perhatian saya, beliau hanya melakukan kerja-kerja tersebut di belakang rumah milik keluarganya dan tidak mempunyai bengkel yang luas serta tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

“Bayangkan jika beliau mempunyai kawasan yang luas serta peralatan yang mencukupi, sudah pasti beliau boleh menjana pendapatan yang lebih berganda dengan penghasilan produk yang lebih banyak dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak muda yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Jelasnya, hasil lawatan beliau tersebut juga, beliau akan memberi komitmen untuk membantu Rosleenizam sebagai salah satu usahawan muda di daerah ini untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan sebagai contoh kepada anak muda yang lain kelak.-pr/BNN