KOTA KINABALU:Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyambut baik keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengagihkan 10,000 komputer riba kepada pelajar dalam kategori miskin tegar melalui Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

Keputusan yang melibatkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM amat tepat pada masanya memandangkan situasi ekonomi rakyat yang meruncing kini.

Tindakan prihatin ini membuktikan kerajaan pimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak meminggirkan golongan rakyat yang menghadapi ‘tekanan’ kos sara hidup lebih-lebih lagi dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Langkah proaktif ini sekaligus menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah bukan sahaja bersungguh-sungguh untuk memerangi penularan wabak COVID-19 di negeri ini, malah turut memberi perhatian yang serius terhadap isu kebajikan khususnya kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran melalui kaedah PdPR dengan lebih kondusif.

Perkara ini semestinya akan menerima reaksi yang positif daripada rakyat umumnya khususnya penerima yang terlibat memandangkan ia menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah memberi insentif tambahan kepada rakyat khususnya golongan B40, M40, peniaga dan pekerja ekoran pelaksanaan PKP yang menyebabkan pendapatan rakyat terjejas.

Usaha ini dilihat mampu mengurangkan beban golongan yang terjejas memandangkan rakyat yang terlibat rata-rata tidak dapat memperoleh pendapatan yang sama seperti hari-hari biasa kerana perlu duduk di rumah bagi membendung penularan COVID-19.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan seluruh ahli kabinet Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dalam menghadapi wabak COVID-19 ini.-MUSTAMAN BIN MUSTAIN Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Sumber : https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/07/pemuda-pas-sabah-sambut-baik-agihan-komputer/