KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan mengesahkan bahawa ikan yu yang dijual di sebuah pasaraya di Kolombong tidak tersenarai sebagai spesis terancam.
Di dalam sebuah kenyataan pada hari ini, menterinya Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata berdasarkan kepada gambar yang telah viral di media sosial itu, jenis ikan yang dapat dicam adalah yu sirip hitam Carcharhinus sorrah dan yu muncung panjang C. brevipinna.
“Ini merupakan jenis yu hasil tangkapan nelayan di Sabah. Kedua-dua spesis tidak disenaraikan sebagai spesis terancam sama ada di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) mahupun Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686).
“Ini bermakna aktiviti seperti menangkap dan menjual spesis berkenaan adalah tidak salah di sisi undang-undang,” katanya.
Terdapat lebih daripadan 150 spesis ikan yu dan pari di Malaysia. Hanya 12 spesis disenaraikan di bawah Akta 317 manakala 64 spesis yang tersenarai di bawah Akta 686.
Diantara spesis ikan yu yang disenaraikan di bawah kedua-dua akta berkenaan adalah seperti yu paus dan yu tanduk (hammerhead shark) manakala bagi pari pula ialah seperti yu gergaji (sawfish) dan pari manta.
Bagi spesis di bawah Akta 317, eksploitasi seperti menangkap, memiliki, mengangkut, menjual, mengeksport, dan lain-lain adalah tidak dibenarkan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi spesis yang disenaraikan di bawah Akta 686, eksploitasinya hanya dihadkan di peringkat domestik sahaja (kecuali jika ianya disenaraikan juga di bawah Akta 317).
Dari segi kawalan perdagangan antarabangsa, Sabah tidak membenarkan eksport walaupun ke Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.
Sebarang kesalahan di bawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jabatan Perikanan Sabah melalui Unit Penguatkuasaannya akan terus melaksanakan pemeriksaan di pintu keluar masuk utama, rondaan ke atas operasi penangkapan ikan dan pemantauan di pasar-pasar ikan serta pasaraya secara berterusan.
“Ini bagi memastikan sumber ikan termasuklah ikan yu dan pari dapat diurus secara cekap,” katanya.-pr/BNN