KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
berpeluang berinteraksi bersama 241 yang diadakan secara maya, pada Majlis
Ketua Menteri bersama Pelajar Cemerlang SPM 2020 di Pejabatnya di Pusat
Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Ketua Menteri yang menyifatkan mereka sebagai hebat, turut mengambil peluang
itu merakamkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar cemerlang itu dan
berharap mereka akan meneruskan pelajaran hingga ke tahap lebih tinggi sekali
gus mampu memberi sumbangan kepada bangsa, agama dan negara.

Pada majlis itu, Hajiji turut menjawab soalan yang dikemukakan beberapa pelajar
termasuk berkaitan pengalaman manis dan pahit sebagai ketua menteri, isu
semasa berkaitan hala tuju pimpinannya dan usaha kerajaan membantu pelajar di
negeri ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa lebih banyak lagi usaha akan dilaksanakan
kerajaan terutama dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat
kerana mereka adalah tenaga yang penting untuk membangunkan negeri ini.

Antara bantuan untuk membantu pelajar di negeri ini ialah Bantuan Tunai
Pendaftaran IPT (BUDI), iaitu pemberian tunai RM2,000 secara one-off kepada
pelajar yang layak; Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) sebanyak RM200
secara one-off kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama
Malaysia (STAM).

Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) membabitkan 10,000 komputer riba yang akan
diagihkan mulai Julai ini dan terbaharu ialah Tabung Pendidikan Negeri Sabah,
yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Majlis itu adalah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan taklimat berkaitan
tajaan biasiswa turut diadakan oleh Petronas, secara maya.-pr/BNN

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berinteraksi bersama 241 pelajar yang diadakan secara maya pada majlis Ketua Menteri bersama Pelajar Cemerlang SPM 2020 di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu, hari ini.