KOTA KINABALU: Desa Cattle Sdn Bhd akan mengambil alih Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), mulai 1 Julai ini.
Desa Cattle juga akan menjadi pelabur utama untuk pengembangan tahap dua KILC dalam menerajui pembangunan industri tenusu dan lembu di Sabah.
Kerajaan Negeri menaruh penuh kepercayaan kepada Desa Cattle sebagai syarikat utama untuk memimpin pengembangan KILC sepenuhnya sekali gus mewakili negeri ini dalam menerajui industri ruminan di Sabah.
KILC adalah program pembangunan strategik jangka panjang yang dirancang untuk menghasilkan lembu tenusu berkualiti tinggi berdasarkan sistem tiga peringkat, iaitu ladang Nukleus, Berganda dan Komersial yang bertujuan menyokong pembangunan industri tenusu dan daging lembu Sabah secara lestari. Sebagai ladang Nukleus pertama di Malaysia, KILC dirancang untuk mengatasi kekurangan bekalan baka lembu tenusu dan lembu tempatan yang berkualiti tinggi, yang telah menghalang perkembangan industri itu di Sabah dan Malaysia keseluruhannya.
Pendekatan ini memastikan ladang Nukleus terus meningkatkan prestasi baka melalui peningkatan genetik menerusi teknologi pembiakan yang moden.
Kemudiannya, baka berkualiti yang telah ditambah baik ini akan dilipatgandakan di ladang Berganda dan diedarkan kepada penternak tempatan di peringkat ladang Komersial, memastikan pengeluaran susu yang tinggi hingga meningkatkan pendapatan dan keuntungan penternak.
Pada masa yang sama, KILC juga bertindak sebagai pemangkin untuk menarik pelaburan swasta dalam mendirikan penggalak lembu tenusu dan ladang penternak untuk meningkatkan populasi penternak serta industri hiliran nilai tambah yang berkaitan.
Di bawah SEDIA, KILC sedang menjalani program peningkatan dan pada masa yang sama kajian pelan induk tambahan juga telah dilakukan untuk meningkatkan kelangsungan jangka panjangnya dan untuk menangani sepenuhnya jurang dan cabaran yang sedang dihadapi oleh industri lembu tenusu di Sabah.
Program peningkatan juga akan memastikan kerjasama dan hasil yang positif bersama pelabur pada masa hadapan, dalam pengembangan industri ruminan di Sabah.
KILC memiliki kemampuan untuk menempatkan 2,000 lembu tenusu dengan menyasarkan pengeluaran susu tahunan adalah sebanyak 10 juta liter dan 810 ekor ‘feeder cattle’ yang bersamaan dengan 1,500 tan metrik daging lembu setahun.
Jumlah pelaburan modal yang diperlukan untuk pembangunan dianggarkan berjumlah RM118 juta dan dibahagikan kepada dua fasa.
Kerajaan Persekutuan telah menyediakan dana RM57.3 juta untuk pembangunan Fasa Satu iaitu membina infrastruktur dengan kapasiti 500 ekor, yang telah siap pada 19 Ogos 2013 melalui SEDIA.
Untuk Fasa Dua ia membabitkan pengembangan dan pembangunan infrastruktur untuk menampung 2,000 ekor lembu, yang memerlukan RM60.7 juta, yang akan dibiayai sepenuhnya melalui pelaburan sektor swasta.
Sejak beroperasi pada 2013, KILC telah melipatgandakan pengeluaran susu tahunan daripada 0.5 juta liter pada 2014 menjadi 2.5 juta liter pada tahun 2020.
Purata hasil bagi seekor lembu juga telah meningkat daripada 6.5 liter / sehari pada tahun 2014 menjadi 17.3 liter /sehari pada tahun 2019, sementara hasil purata nasional bagi Sabah kekal sekitar 12 liter / sehari.
Selain menyelesaikan infrastruktur asas, semua keperluan teknikal dan pentadbiran yang diperlukan untuk operasi ladang telah ditetapkan untuk menstabilkan operasi KILC.
Kira-kira 40 kakitangan tempatan serta tiga pakar antarabangsa juga terlibat untuk latihan dan kawal sedia, pemindahan pengetahuan dan latihan kemahiran pekerja tempatan untuk mencapai standard antarabangsa dan praktik penternakan dan pembiakan haiwan bertaraf dunia.
Kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga telah diadakan dan setakat ini, 10 graduan UMS telah menamatkan latihan industri selama lapan bulan. Tiga daripada graduan itu kini bekerja sepenuhnya di KILC.
Sasaran jangka panjang KILC adalah untuk mengeluarkan lembu tenusu pembiakan yang berkualiti tinggi dengan produktiviti melebihi 7,000 liter setahun atau lebih 23 liter sehari dan mencapai misinya sebagai pusat pembiakan utama di negara ini.-pr/BNN