KUNDASANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu program jangkauan luar (mobile outreach) untuk pemberian vaksin di pedalaman negeri Sabah terus diperhebatkan bagi memastikan lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan menerima vaksin.

Katanya, Sabah yang akan menerima 1 juta dos vaksin pada bulan ini dan 1.2 juta dos lagi pada bulan depan, sudah pasti akan membantu meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin di negeri ini.

“Saya berharap pemberian vaksin ini akan berjalan lancar termasuk untuk program mobile outreach. Ini bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita tahu di luar bandar mereka tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan menerusi program mobile outreach, suntikan vaksin akan diberikan kepada mereka jika datang ke program berkenaan.

“Justeru, dengan penambahan vaksin pada bulan ini dan bulan depan, sudah pasti membantu meningkatkan jumlah penduduk yang menerima vaksin di negeri ini,” katanya sambil menambah mahu rakyat di Sabah akan mendapat vaksin secepat mungkin.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai status COVID-19 dan PICK daerah Ranau, dalam lawatan seharinya ke Kundasang.

Penambahan vaksin itu juga katanya akan mengelak rakyat daripada terkena jangkitan virus itu sekali gus dapat mengekang penularan pandemik ini.

Terdahulu, Ketua Menteri mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir Kasibun mengenai status semasa berkaitan COVID-19 dan PICK.

Setakat ini di Ranau, seramai 16,425 orang atau 21 peratus sudah menerima dos 1 manakala 7,419 (9.5 peratus) untuk dos 2.

Ranau mempunyai 113,500 populasi dan seramai 75,900 penduduk berusia 18
tahun ke atas dan jumlah yang mendaftar adalah seramai 25,396 orang.

Dewan Masyarakat Daerah Ranau menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah itu yang mampu menempatkan kira-kira 300 kapasiti dalam satu-satu masa.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyampaikan bantuan secara tunai one-off RM300 kepada 290 malim gunung yang membabitkan nilai keseluruhan sejumlah RM87,000.

Hajiji juga turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan replika cek bernilai RM30,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Porter Gunung Kinabalu, daripada peruntukan Taman-Taman Sabah.

Beliau turut meninjau operasi pemberian vaksin kepada malim gunung dan porter sempena majlis berkenaan.

Sementara itu dalam lawatan ke kawasan gerai di pekan Kundasang, Hajiji berkata kerajaan akan memberi keutamaan terhadap masalah yang dikemukakan persatuan peniaga sayur di gerai itu.

“Kita mendengar rintihan dan permohonan mereka saya mengambil perhatian terhadap setiap masalah yang mereka kemukakan termasuk mahu kawasan tempat letak kereta di gerai itu diturap.

“Kundasang bukan sahaja menjadi pilihan pelancong tempatan malah juga luar negara dan salah satu lokasi yang kerap dikunjungi adalah kawasan gerai,” katanya.-pr/BNN

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat operasi pemberian vaksin kepada malim gunung, petugas Gunung Kinabalu dan pekerja Restoran Laban Rata