KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Rombongan SAFA diketuai oleh Presidennya, Dato’ Sri Bung Mokthar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden, Dato’ Abdul Rahman Mohd Zakaria, Naib Presiden II, Dato Jalani Hamdan, Setiausaha Agung, Benedict Asmat, Bendahari, Encik Jasnih Haji Daya dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bola Sepak Sabah (SFC), Encik Firdaus Akhbar Khan.
Bung telah memberi taklimat mengenai perjalanan SAFA dibawah pimpinannya dan perancangan masa depan bagi memajukan sukan bola sepak di Sabah.
Terdahulu Hajiji menerima kunjungan daripada rombongan Pengakap Sabah terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Encik Mohd Yusrie Abdullah, Presiden Majlis Pengakap Malaysia Sabah, Datuk Yusoff bin Datuk Seri Panglima Haji Mohamed Kasim dan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah yang baharu, Encik Abdul Rahman Laman.
Hajiji diberi taklimat mengenai program-program yang akan dilaksanakan oleh Pengakap Sabah pada masa depan.-pr/BNN
Hajiji (tengah) bersama Bung dan rombongan SAFA.