TENOM: Industri lanskap dan bunga-bungaan berpotensi dibangunkan di Sabah kerana
negeri ini mengimport sebanyak 156.93 tan bunga segar dengan nilai RM4.9 juta,
setakat tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan industri
itu bukan saja mampu mengurangkan jumlah import pada masa hadapan malah
membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

“Ini menunjukkan terdapat potensi untuk pembangunan industri lanskap dan bunga-
bungaan tempatan atau florikultur di negeri ini sekali gus berupaya mengurangkan

import bunga segar pada masa hadapan.

“Pesta Bunga ini tentunya menjadi platform kepada para pengusaha bunga-bungaan
dan lanskap untuk berkongsi maklumat dan pengalaman serta mengadakan ‘business
matching ’ bagi membangunkan industri florikultur di negeri ini.

“Saya juga berharap Pesta Bunga ini akan dapat memupuk budaya dan rasa cinta
kepada keindahan flora serta amalan aktiviti lanskap yang bermanfaat kepada
masyarakat,” katanya ketika merasmikan Pesta Bunga 2022 di Taman Pertanian Sabah
di sini, pada Ahad.

Ketua Menteri berkata, sambutan Pesta Bunga di Taman Pertanian Sabah ini juga juga
amat signifikan dan ia dapat menarik perhatian lebih ramai pelancong untuk berkunjung
ke pedalaman Sabah, khususnya di daerah Tenom..

“Oleh itu, pesta ini perlu diadakan setiap tahun dan saya mahu masyarakat kita akan
terus menghargai dan menghayati kepentingan pemuliharaan spesies tumbuhan
sebagai sumber makanan dan penyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Katanya, Taman Pertanian Sabah sebagai Pusat Penyimpanan Khazanah Biodiversiti
yang unik mempunyai lebih 1,500 spesies tumbuhan antaranya adalah orkid dengan
sebanyak 350 spesies, halia hutan lebih 100 spesies dan buah-buahan dari dalam serta
luar negara lebih 100 spesies di taman ini.

 

“Dengan adanya taman ini, tanaman makanan yang unik dan hanya terdapat di Sabah
juga dapat dipulihara agar tidak pupus begitu sahaja. Ini juga akan menjadi satu tarikan
kepada pelancong untuk datang ke taman ini,” katanya sambil menambah Taman
Pertanian Sabah adalah produk pelancongan berasaskan pertanian yang unggul di
negeri ini.

Sejak dibuka kepada orang awam pada 1 Oktober 2000, seramai 471,299 pelawat dari
dalam dan luar negara telah melawat Taman ini atau purata 24,000 orang setahun
sebelum pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata pembangunan tanaman makanan juga
diberi penekanan penting berikutan fenomena kenaikan harga input pertanian dan
gangguan rantaian nilai akibat pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan
terhadap jaminan makanan yang agak membimbangkan di seluruh dunia.

“Walaupun keperluan bagi ayam, telur, susu segar, ikan dan pelbagai tanaman
makanan lain adalah mencukupi, namun kita masih kekurangan bekalan beras. Tahap
Kecukupan Beras (SSL) setakat tahun 2020 hanya 22.8 peratus.

“Kerajaan telah dan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan tahap SSL beras
negeri. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah membangunkan tanah seluas
11,000 hektar di Semenanjung Dent FELDA Sahabat Lahad Datu untuk tanaman padi.

“Sebagai langkah awal Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan
Pertanian akan melaksanakan plot demonstrasi tanaman padi di kawasan berkenaan.
Jabatan Pertanian Sabah juga giat melaksanakan program penyelidikan dan inovasi ke
atas buah-buahan di negeri ini.

“Satu varieti buah Avocado QAV3 dan buah Tarap QTRT telah dilancarkan semasa Hari
Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Quoin Hill Tawau pada 20 Ogos lalu. Saya
berharap lebih banyak varieti baharu dan teknologi pertanian dapat dihasilkan oleh
Jabatan Pertanian Sabah selepas ini,” katanya.

Bagi memacu pembangunan tanaman makanan di negeri ini, beliau berkata beberapa
usaha sama dengan pihak swasta turut diadakan termasuklah memeterai satu
Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat LINACO Sdn Bhd untuk
pembangunan tanaman kelapa dan pembinaan kilang memproses produk berasaskan
kelapa, pada Mac tahun lalu

“Pada 21 Ogos lalu, satu lagi Notes of Understanding (NoU) telah dimeterai di antara
Jabatan Pertanian Sabah dengan Ladang Kelapa PJ Nagus Malaysian Kuwaiti
Investment Co Sdn. Bhd. (MKIC), sebuah syarikat usaha sama di bawah Kementerian
Kewangan Malaysia.

“Projek ini melibatkan usaha sama berkaitan pengesahan ketulenan bahan tanaman
kelapa dan khidmat nasihat teknikal dan teknologi tanaman kelapa,”katanya.-pr/BNN