KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan kawasan seluas 8,000 ekar tanah di antara Tenom dan Sipitang untuk penanaman avocado secara komersil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini adalah antara beberapa usaha yang diambil kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya.

“Kita akan menerokai sebanyak mungkin projek pembangunan, yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Bercakap selepas mendengar taklimat pembangunan oleh Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson, sempena lawatan kerjanya di sini pada Selasa, Ketua Menteri berasa gembira kerana SMJ telah dijadikan garis panduan dalam pelan pembangunan daerah berkenaan.

“Saya berasa gembira melihat pelan komprehensif untuk Keningau. Kerajaan Negeri melihat Keningau sebagai hab pembangunan pedalaman kerana potensi besarnya untuk pengembangan pertanian,” katanya.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta termasuk untuk
menaiktaraf jalan Holy Family Church Nulu Sosopon, di sini.

Sebanyak RM1.5 juta peruntukan telah diluluskan untuk menaiktaraf jalan Nulu
Sosopon.

Baki peruntukan itu adalah untuk pembaikan Jambatan Kauran, tebing sungai
Kauran dan juga untuk mangsa banjir di kawasan Kauran.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub; ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik; ADUN Tulid, Flovia Ng dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.-pr/BNN

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan hadirin sebelum taklimat pembangunan di Majlis Daerah Keningau pada Selasa.