JPA wajar ambil tindakan tegas terhadap Hamzah, Azulita, Razana

0
2359
Datuk Ng Loi Tect
KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) wajar mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Haji Hamzah Bahari dan Timbalannya, Puan Azulita Salim dan Ketua Pentadbir NAFAS,  Razana Ghazali.
Ini berikutan laporan polis yang telah dibuat oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah berhubung salah guna kuasa mereka selaku pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) dan Pentadbir sehingga menyebabkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengalami kerugian.
Selain itu PPN Sabah  juga mendakwa tindakan Hamzah menggantung Perlembagaan NAFAS tidak mengikut prosedur dan tatacara sebenar, selain menahan berjuta ringgit wang yang sepatutnya dibayar oleh  LPP kepada NAFAS.
Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect berkata, semua pertuduhan itu merupakan salah laku seorang pegawai kanan perkhidmatan awam yang sepatutnya telah dikenakan tindakan tegas oleh JPA.
“Sebagai penjawat awam, Hamzah dan Azulita telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai KP dan TKP LPP menggantung Perlembagaan NAFAS pada bulan Jun 2018 sehingga akhirnya menyebabkan NAFAS mengalami kerugian berjuta ringgit” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ng berkata, sebagai pendaftar PP,  Hamzah sengaja menggantung Perlembagaan NAFAS dengan niat untuk menghancurkan pertubuhan itu tanpa memikirkan kebajikan kakitangan NAFAS akan terjejas dan pemegang saham akan menghadapi kerugian.
Katanya, akibat tindakan bijak Hamzah yang melantik Pentadbir Sementara keatas NAFAS  yang diketuai oleh Razana Ghazali, disamping 7 pegawai LPP lain yang bertindak seakan-akan jemaah pengarah. Pada masa yang sama mereka juga sebagai pegawai pengurusan sementara NAFAS.
Perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam NAFAS kerana pada kebiasaannya jemaah pengarah tidak terlibat dalam pengurusan, begitu juga sebaliknya.
“Bijak sungguh Hamzah berbuat demikian untuk menguasai NAFAS, sehingga menyebabkan ramai pegawai kanan NAFAS ditindas termasuk ditamatkan perkhidmatan, ditukar atau tidak disambung kontrak mereka.
“Akibat  salah tadbir oleh Hamzah, Azulita, Razana, dan Jawatankuasa Pentadbir Sementara, maka NAFAS yang mencatat keuntungan  berterusan setiap tahun sejak 2007 hingga 2017, kini mengalami kerugian yang luar biasa.
“Seperti yang pernah diakui oleh Pengerusi NAFAS sekarang, Dato’ Haji Phahrolrazi Mohd. Zawawi bahawa keadaan NAFAS kini sehingga mahu membayar hutang pun susah.
“Perkara seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia terjadi selepas Hamzah menggantung perlembagaan NAFAS dan melantik orang-orangnya sebagai Pentadbir Sementara NAFAS.
“Razana dan 7 orang pegawai LPP juga telah meluluskan pembayaran kepada syarikat pembekal dalam mesyuarat mereka , sedangkan pengurusan lama yang diketuai oleh Dr. Hamid Sulaiman memutuskan untuk tidak mahu membuat pembayaran itu.
“Pentadbir sementara telah dengan salah membuat bayaran sebanyak RM 1.4 juta kepada pembekal yang tidak dilantik mengikut peraturan perolahan serta tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan NAFAS, hanya semata-mata untuk menjaga kroninya di NAFAS daripada dikenakan tindakan.
“Tambahan pula pembekal ini telah membekalkan produk baja yang melanggar kontrak pembekalan NAFAS dan kerajaan. Sedangkan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS terdahulu pun tidak meluluskan perkara ini kerana tiada justifikasi yang kukuh untuk membolehkan pembayaran dibuat.
“Bagaimana pula semudahnya pihak pentadbir sementara memberi kelulusan pembayaran tanpa sebarang kajian yang teliti. Di manakah intergriti pentadbir ini yang gagal menjalankan tugas dengan telus dan beramanah”, tegasnya.
Ng berkata, perkara ini perlu diteliti kerana ianya merupakan kesalahan yang besar seolah-olah telah mengkhianati ahli peladang keseluruhannya.
Tambahan pula katanya,  pentadbir ini merupakan penjawat awam yang boleh dikenakan tindakan undang-undang apabila merestui pembayaran atas kerja-kerja pembuatan baja yang melanggar kontrak serta menipu kerajaan.
“Ini tidak sepatutnya berlaku. Kenapa mereka membuat pembayaran itu? Ada apa-apa kepentingan mereka ke di sebalik pembayaran ini?”, soalnya.
Justeru katanya, ahli-ahli peladang Sabah berpendapat Hamzah, Azulita dan pasukannya merupakan  individu yang menjadi punca musibah yang menimpa NAFAS  dan perlu dipertanggungjawab terhadap semua tindakan dan kesilapan tadbir urus NAFAS itu.
“Sekiranya tindakan tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa terutama JPA, kita bimbang perkara seumpama ini akan turut berlaku pada agensi dan anak syarikat milik kerajaan yang lain atau akan berulang di LPP di masa akan datang.
“Walaupun NAFAS bukan dimiliki oleh Kerajaan, sebaliknya adalah milik ahli-ahli peladang menerusi 14 PPN seluruh negara, namun tidak mustahil perkara seumpama ini akan berulang dan berlaku di syarikat pelaburan kerajaan yang lain”, tegasnya.
Menurutnya, perlu diingat mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada NAFAS, akibat penggantungan itu, mereka boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.
Ng juga hairan kenapa Hamzah dan Azulita sanggup memusnahkan NAFAS yang telah dibangunkan dengan begitu sukar oleh pemimpin, pegawai dan kakitangan NAFAS terdahulu.
“Setelah NAFAS berjaya menjadi organisasi menguntungkan dan disegani di negara ini, Hamzah dan Azulita tergamak untuk memusnahkannya hanya kerana kepentingan peribadi mereka.
“Mantan KP LPP mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan NAFAS, malah mereka sentiasa berusaha membantu memastikan NAFAS berjaya. Malangnya akibat perbuatan Hamzah dan Azulita, masa depan NAFAS kini semakin malap”, tegasnya.
Ng berkata, Hamzah dengan mudah meletakkan hukuman kepada organisasi seperti NAFAS sebagai tidak berintegriti, tetapi hakikatnya segala tindakan yang dilakukannya sebagai penjawat awam lebih lagi tidak mencerminkan integriti yang baik apabila sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi melebihi kepentingan ahli peladang.
Katanya, setiap kerugian yang berlaku di NAFAS sepanjang tempoh penggantungan oleh Hamzah dan diuruskan barisan pentadbir LPP, perlu dilihat oleh pihak JPA sebagai satu tanggungjawab kesalahan yang besar terhadap mereka sebagai penjawat awam, ini kerana kerugian ini melibatkan wang pemegang saham (shareholders) iaitu ahli peladang itu sendiri (rakyat).
“Janganlah mereka ini hanya menggunakan kuasa dengan berlindung disebalik peraturan-peraturan yang berat sebelah, ciptaan mereka untuk menindas pihak seperti NAFAS, yang kesannya menjerumuskan kerugian kepada keseluruhan masyarakat peladang.
“Adakah masyarakat peladang semua merestui tindakan Hamzah ini untuk kepentingannya? Janganlah kerana kedudukannya sebagai KP membolehkannya mempergunakan ahli peladang sebagai mangsa atas kerakusan salahguna kuasa olehnya.
“Kesan daripada yang telah dilakukannya begitu besar iaitu melibatkan pergerakan PP, kakitangan PP, kakitangan LPP sendiri dan juga ahli-ahli peladang keseluruhannya.
“Beliau harus mendapat imbuhan hukuman yang setimpal atas apa juga kerosakan yang telah dilakukan sepanjang tempoh menjadi KP”, tegasnya.-pr/BNN