PPN, PPK ucap terima kasih haji boss, Selamat bersara

0
953

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mengucapkan selamat bersara wajib kepada Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tuan Haji Hamzah Bahari.

Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, Datuk Haji Jaimin Samitah berkata, PPN dan PPK turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana tidak menyambung perkhidmatan Hamzah secara kontrak.

“Ini adalah keputusan tepat yang sangat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara berikutan tindakan Hamzah dan timbalannya Azulita menghancurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dengan menggantung perlembagaan NAFAS.

PPN dan PPK di Sabah, sebelum ini telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kesilapan dan tindakan yang diambil oleh Hamzah selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) menyebabkan perlembagaan NAFAS digantung.

NAFAS kemudiannya ditadbir oleh Jawatankuasa Pentadbir Sementara yang dilantik oleh Hamzah.

“Sepanjang tempoh penggantungan itu, Jawatankuasa Pentadbir dengan melampaui kuasa yang dibenarkan telah mengambil tindakan yang menyalahi Akta dan Peraturan, sehingga mengakibatkan kerugian kepada NAFAS.

“Beberapa tindakan Jawatankuasa Pentadbir yang dilantik oleh Hamzah ini juga telah menyebabkan kerugian kepada PPN di seluruh negara, selaku pemegang saham NAFAS.

“PPN dan PPK di Sabah juga tidak bersetuju sekiranya Azulita dinaikkan pangkat sebagai KP LPP. Beliau dan Hamzah, sebaik sahaja menjawat jawatan tertinggi, telah menimbulkan kekacauan di dalam organisasi LPP, malah menimbulkan ketegangan antara ahli Peladang dan LPP”, kata Jaimin dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, LPP sepatutnya bertindak menjaga kepentingan NAFAS, PPN dan PPK, sebaliknya Hamzah dan Azulita telah mendatangkan musibah kepada PP.

“LPP selaku Pendaftar PP telah mengeluarkan arahan Bilangan 2 Tahun 2009 mengenai perlakuan dan tindakan yang disifatkan sebagai memudaratkan Pertubuhan Peladang sehingga Pendaftar boleh mengosongkan jawatan Ahli Lembaga Pengarah PP.

“Tetapi bagaimana pula jika Hamzah dan Azulita sendiri yang membawa mudarat kepada pengurusan dan kewangan PP?

“Kita berharap KP LPP yang baharu yang dilantik daripada kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) akan meletakkan LPP pada landasan yang betul.

“Selain dapat memulihkan hubungan erat dan harmoni diantara LPP bersama NAFAS, PPN, PPK serta ahli-ahli peladang seluruh negara”, tambahnya.

Sementara Pengerusi PPN Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad berkata, walaupun Hamzah akan bersara wajib, namun beliau perlu bertanggungjawab terhadap kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya bersama Azulita.

“Bersara bukan bererti bebas daripada segala tuduhan salah laku atau penyalahgunaan kuasa sepanjang berkhidmat sebagai KP LPP.

“Yang bersalah tetap salah walaupun sudah bersara dari jawatan. Dan masih boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati dakwaan salah guna kuasa itu terbukti benar “, katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Hamzah dan Azulita sepatutnya membantu NAFAS terus berkembang maju dan bukan menggantung perlembagaannya sehingga menyebabkan NAFAS mengalami kerugian berjuta ringgit.

“Hamzah dan Azulita sepatutnya mencontohi bekas-bekas KP LPP yang begitu komited membantu NAFAS sehingga berjaya menjadi pertubuhan yang disegani”, tambah Yussof.

Hamzah akan bersara wajib mulai 3 Mac 2019.-pr/BNN