TAWAU: Seorang lelaki, Jufrie bin Abu, 42, warganegara Malaysia, dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran yang sah.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Encik Primus Lambut.
Kejadian berlaku pada 10 Jun 2026 kira-kira jam 11.00 malam di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau–Semporna, Semporna. Hasil pemeriksaan, anggota Jabatan Hidupan Liar menemui dalam milikan tertuduh:
satu (1) ekor beruk (Macaca nemestrina); dan
satu (1) ekor tenggiling (Manis javanica).
Kedua-dua spesies tersebut dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan pemilikan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan bagi pertuduhan berkaitan tenggiling dan 24 bulan bagi pertuduhan berkaitan beruk.
Kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh sabitan.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pemilikan atau pengendalian hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran.
Orang awam diingatkan supaya tidak memiliki atau memperdagangkan hidupan liar secara haram dan diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti tersebut kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.-pr/BNN





