KENINGAU: Peranan wartawan dalam membawa suara masyarakat pedalaman ke khalayak lebih luas menjadi fokus Malam Apresiasi Media Pedalaman 2026 anjuran Persatuan Wartawan Keningau (KJA), di Hotel Perkasa Keningau, 10 Oktober ini.
Bertemakan ‘Semangat Pedalaman’, majlis itu bukan sahaja menghargai sumbangan pengamal media, malah mengiktiraf peranan kewartawanan dalam mengetengahkan isu pembangunan, kehidupan dan aspirasi masyarakat luar bandar.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut, dijadual merasmikan majlis yang bermula jam 7 malam itu.
Presiden KJA, Marutin Ansiung, turut dijadual menyampaikan ucapan, selain ucapan Penaung KJA, persembahan kebudayaan dan penyampaian penghargaan kepada pengamal media.
Kemuncak majlis ialah penyampaian Apresiasi Media 2026 dalam dua segmen, diikuti cabutan bertuah utama dan sesi jaringan kerjasama antara pengamal media, komuniti serta pihak berkepentingan.
Majlis bertemakan pakaian Etnik Borneo Tradisional/Kontemporari itu turut mengetengahkan keunikan warisan budaya tempatan sebagai lambang identiti masyarakat pedalaman.
Penganjuran berkenaan diharap terus memperkukuh hubungan antara media dan komuniti, selain memastikan suara serta aspirasi masyarakat pedalaman terus mendapat tempat dalam arus perdana.-pr/BNN





