Secara historikalnya, Negeri Sabah sering menjadi medan pecah dan perintah (Divide and rules) di dalam politik Malaysia terutamanya melibatkan konflik di peringkat federal.  Perseteruan pemimpin politik di Semenanjung juga mempengaruhi perpecahan politik di Negeri Sabah.
Pemimpin-pemimpin di Negeri Sabah perlu bermuhasabah diri dan memperkukuhkan ikatan persefahaman dan Penyatuan dalam kalangan satu sama lain. Kita tidak seharusnya dimanipulasikan oleh percaturan politik di Semenanjung sehingga menyaksikan perbalahan di antara pemimpin di Negeri Sabah.
Negeri Sabah mencapai kemuncak kestabilan ketika tahun 2013-2017 dengan menyaksikan pembangunan pesat dilakukan di seluruh Negeri Sabah menerusi peruntukkan berkala besar. Lima Ahli Parlimen daripada Negeri Sabah telah dilantik menjadi Menteri di peringkat federal dan memanfaatkan peruntukkan berbiliun-biliun ringgit demi pembangunan Negeri Sabah.
Pada hari ini, sebarang percaturan politik yang dilakukan perlu mengutamakan dan berteraskan kepentingan Negeri Sabah. Sedarlah bahawa Terdapatnya 3.2 juta individu yang sedang bergantung dan memberikan mandat kepada kerajaan Negeri Sabah. Jika tidak mampu untuk memberikan mereka kemewahan, cukuplah sekadar kestabilan agar mereka mudah untuk mencari rezeki, mudah untuk menjalankan perniagaan serta selamat di samping keluarga tercinta.
Selaku pemimpin Negeri Sabah, berbakti lah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan masyarakat Sabah. Naluri tamak dan haloba akan menjerat politik Negeri Sabah bagi kepentingan politik di Semenanjung. Utamakanlah tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat Negeri Sabah. Jikalau bertindak bijak laksana, nescaya diperoleh pembangunan rancak. Jikalau dibawa naluri haloba, nescaya terjerat dikembala nakhoda.-
Mohd Kurniawan Naim Moktar
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan