KOTA KINABALU: Tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjalin kerjasama dengan pemimpin di luar Perikatan Nasional (PN) dilihat mampu menyelesaikan kemelut politik negara hari ini.
Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH), Yahya Ahmad berkata, semua pihak dengan itu turut diminta berfikiran matang dan perlu menyambut perkara tersebut dengan berlapang dada demi kepentingan negara.
Jelasnya, semua pemimpin parti politik juga diminta bermula Sabah di saat negara diuji, menyambut baik tawaran itu dengan mengusahakan tempoh jaminan kerajaan sehingga semua usaha memberikan imunisasi berkelompok dapat direalisasikan.
“Rakyat sudah mendapat apa yang patut dari segenap bantuan, pelan-pelan peralihan bergerak lancar maka tempoh ingin mengadakan pilihan raya bulan Julai tahun hadapan sudah dikira bersesuaian.
“Jika tawaran roh muafakat ini baik, tidak ada alasan mana-mana ahli parlimen menolaknya, melainkan lebih perjuangan peribadi bukan rakyat.
“Perkara mustahil ahli politik dan ahli parlimen kurang bersabar dibanding rakyat yang sudah sarat terbeban namun mampu cekal bertabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dalam perutusan khasnya telah menawarkan tujuh cadangan kerjasama yang turut melibatkan pihak pembangkang.
Tindakan itu antara lain adalah bagi usaha meningkatkan kestabilan negara dan ke arah pemulihan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Yahya menambah suhu politik kini perlu di tentera kan terlebih dahulu kerana ia dilihat banyak menggangu fokus kerajaan dalam menangani isu pandemik di negara ini.
“Rakyat ini bukan buta, sentiasa memerhati semua percakapan dan tindakan para pemimpin dan ahli politik yang kurang mengawal sabar dan kematangan lebih asyik menumpu tujuan menjatuhkan dan berebut kuasa.
” Mereka gagal menunjuk keteladanan… kegagalan ini cukup jelas ada pada mereka dan terlebih berpolitik kurangnya berjiwa rakyat.
” Kepada mereka yang terlalu ikut nafsu politik dan tersirat jelas kepentingan ini, fikirkan hati dan perasaan rakyat yang sudah cukup bosan dan sangat marah terganggu,” katanya. -pr/BNN