KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang merangkumi penyediaan bantuan seperti dilakukan kerajaan Pusat dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (BERSATU), berkata langkah itu bagi mengurus ketidakstabilan ekonomi di negeri ini sehingga COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.
“Bagi mengelakkan rakyat terus terbelenggu dengan masalah kewangan sebenarnya banyak alternatif yang boleh kerajaan laksanakan melalui pelbagai bantuan sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Jika kerajaan persekutuan sudah melancarkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti Bantuan PRIHATIN, PENJANA, PEMERKASA dan sebagainya, saya mencadangkan kerajaan negeri melaksanakan dasar atau bantuan serupa bagi mengurus ketidakstabilan ekonomi.
“Dasar atau pelan jangka pendek yang bersifat merangsang dan membantu pertumbuhan ekonomi mesti dilaksanakan pada ketika ini. Walaupun kita berdepan dengan pelbagai kekangan tetapi itu adalah cabaran yang perlu diharungi bersama,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) berkata demikian dalam ucapan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan semula Skim Geran Perniagaan untuk Belia dan Beliawanis dengan menyalurkan terus peruntukan kepada ADUN untuk memudahkan pengagihan kepada pemohon di setiap DUN.
Sementara itu, Abdul Ghani menyarankan agar kerajaan negeri melupuskan hutang peneroka atau peserta SLDB untuk meringankan beban golongan berkenaan terutama dalam tempoh pandemik.
Beliau berkata saranan itu sejajar dengan langkah kerajaan Pusat melupuskan hutan penerokaLembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Katanya, ketika ini terdapat seramai 7,109 ketua isi rumah (KIR) peneroka di bawah SLDB di seluruh Sabah dengan ada antaranya menerima bantuan orang kurang upaya (OKU) dan bantuan baik pulih rumah.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak kerajaan mempertimbang untuk melupuskan hutang peneroka atau peserta selari dengan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat serta memastikan rakyat di negeri ini tidak dibebani masalah kewangan sewaktu krisis wabak pandemik.
“Saya utarakan perkara ini kerana ia juga dilakukan oleh kerajaan persekutuan. Contohnya, kerajaan persekutuan telah melupuskan hutang peneroka FELDA.
“Selaras dengan perkara ini, sekiranya kerajaan negeri juga melaksanakan perkara yang serupa maka ia menyahut agenda Keluarga Malaysia dan Malaysia Prihatin, terutama dalam kita berdepan dengan krisis kesihatan yang menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya.
Katanya, dalam usaha mengurangkan beban peneroka SLDB, pihak pengurusan agensi kerajaan negeri itu turut mengagihkan bantuan bakul makanan mereka yang terjejas.-pr/BNN