KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan diharap dapat mengotakan janji mewujudkan mekanisme untuk memantau status penyaluran peruntukan belanjawan tahunan secara komprehensif dan konsisten.
Ini untuk menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang bertujuan untuk membasmi semua bentuk kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mengurangkan kerenah birokrasi, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar yang mendesak dan memastikan tiada sesiapapun yang terpinggir, khususnya di Sabah.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan, yang membangkitkan perkara ini berkata, Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang telah diterbitkan oleh Kementerian Kewangan dan Laporan Sosio Ekonomi Sabah 2019-2020 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa masalah ketidakseimbangan pembangunan ekonomi antara wilayah masih wujud ketika Malaysia sedang menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi.
“Namun demikian, saya menyambut baik Fokus ke-7 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun yang mana dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah, pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5% dalam tempoh 2021 hingga 2025.
“Justeru, sebagai sebuah wilayah dalam Persekutuan Malaysia dan sejajar dengan semangat “Keluarga Malaysia” saya mengharapkan agar pihak Kementerian Kewangan mengotakan janji mewujudkan mekanisme seperti yang dijanjikan.
“Ini untuk menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang bertujuan untuk membasmi semua bentuk kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mengurangkan kerenah birokrasi, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar yang mendesak dan memastikan tiada sesiapapun yang terpinggir, khususnya di Sabah,” katanya semasa membahas untuk menyokong Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara kelmarin.
Bobbey juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
“Sementara itu, Kerajaan Negeri Sabah mempunyai pendirian bahawa hak sempadan Sabah adalah seperti termaktub di bawah North Borneo (Alternation of Boundaries) Order in Council 1954 yang meliputi pelantar benua atau continental shelf.
“Oleh itu, hak dan kepentingan negeri yang berkaitan dengan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Khas MA63, dan harap kali ini diselesaikan secara tuntas.
“Sesungguhnya komitmen Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu-isu berhubung dengan tuntutan Sabah berdasarkan MA63 termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan semasa pembentangan RMK12 baru-baru ini amatlah dihargai oleh rakyat Sabah,” katanya.
Mengenai isu Akta Laut Wilayah 2012, Bobbey berkata, Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian menolak sebarang usaha untuk menguatkuasakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang menghadkan sempadan perairan Sabah sehingga 3 batu nautika dari pantai.
Sabah tidak pernah mengubah sempadannya kecuali pada 1984 apabila Pulau Labuan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan dijadikan Wilayah Persekutuan, tambahnya.
Akta Laut Wilayah 2012 adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2012. Ia menggariskan had kawasan kedaulatan negara dan negerinya dari garisan pantai. Ini termasuk laut, dasar laut, dan tanah dalam, yang merupakan lapisan tanah di bawah dasar laut.
“Walaupun undang-undang antarabangsa menghadkan perairan wilayah Malaysia kepada 12 batu nautika (22km) dari pantai, Akta ini menghadkan perairan negeri hingga tiga batu nautika (5.5km) dari pantai, termasuk untuk Sabah dan Sarawak. Sebelum 1963, Sabah dan Sarawak, sebagai negara merdeka dalam Malaysia, mempunyai kedaulatan terhadap perairan sehingga 12 batu nautika dari pantai mereka.
“Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian menolak sebarang usaha untuk menguatkuasakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang menghadkan sempadan perairan Sabah sehingga 3 batu nautika dari pantai. Akta ini bertentangan dengan Artikel 1 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan wilayah bagi setiap negeri adalah kawasan yang termasuk dalam negeri terbabit sejak sebelum Hari Malaysia. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak pernah memberikan persetujuan untuk penguatkuasaan Akta 750 itu di Sabah.
“Mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti pada persidangan DUN.,” jelasnya.
Bobbey juga mencadangkan penubuhan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) baharu di daerah Nabawan untuk mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan serta jenayah lain di kawasan sempadan Malaysia – Kalimantan.
“Dalam usaha menjaga kedaulatan negara, mengekang jenayah rentas sempadan dan meningkatkan kegiatan sosio ekonomi di antara Sabah-Malaysia dan Kalimantan-Indonesia, pihak Kerajaan Negeri Sabah telah mengenalpasti Kg. Bantul, di daerah Nabawan sebagai lokasi yang amat sesuai dibangunkan sebagai CIQS baharu bagi mengawal pintu masuk darat di antara sempadan Sabah, Malaysia dan Kalimantan,” jelas beliau.
Ini selaras dengan Fokus ke-4 dalam RMK12 iaitu memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, keselamatan rakyat dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia, di mana antara inisiatif yang akan dilaksanakan merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota, kata Bobbey dalam ucapan bahas sulungnya di Dewan Negara sejak dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada Disember tahun lepas. -pr/BNN