KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap lebih banyak pemain industri di negeri ini menjalin kerjasama dengan Politeknik Kota Kinabalu dan membantu melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata ini juga akhirnya adalah untuk kepentingan industri itu sendiri yang mana
mereka akan dapat mencari pekerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan mereka.
Berucap ketika merasmikan pelancaran Sambutan Jubli Perak Politeknik Kota Kinabalu yang berlangsung secara virtual hari ini, Hajiji berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh Politeknik Kota Kinabalu bagi memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing.
Ketua Menteri berkata sebanyak 141 kolaborasi bersama agensi swasta dan jabatan
kerajaan melalui pelbagai bidang. Ini adalah satu petunjuk yang baik kepada Politeknik
Kota Kinabalu.
“Ini bermakna lebih banyak organisasi terutama daripada sektor swasta yang
mengambil pelajar Politeknik untuk bekerja. Justeru, kita berharap Politeknik Kota
Kinabalu akan terus melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dan
relevan dengan kehendak industri,” katanya.
Beliau turut berasa gembira mengetahui sebanyak 17 program pengajian yang
ditawarkan di peringkat sijil, pra-diploma dan diploma yang ditawarkan oleh Politeknik
Kota Kinabalu.
Sehingga Disember 2019, Politeknik Kota Kinabalu melahirkan seranai 24,457 graduan
TVET.
Ditubuhkan pada 1 Mac 1996, Politeknik Kota Kinabalu katanya menjadi komponen
penting dalam sistem pendidikan negeri khususnya dalam mempromosikan TVET
kepada belia.
Ramai belia kini menyedari kelebihan memperoleh kelayakan TVET yang sangat
diperlukan dalam pasaran pekerjaan.
“TVET bukanlah pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang
cemerlang, sebaliknya kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi
pengajian TVET mampu menjanjikan pendapatan lumayan.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana berjaya
melahirkan pelajar yang sangat inovatif, cemerlang dalam sukan, budaya dan akademik
sejak 25 tahun yang lalu.
“Walaupun program yang ditawarkan sedikit berbeza dengan Universiti Awam, namun
Politeknik mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kemahiran yang diperolehi oleh
pelajar dapat digunakan sepanjang hayat selepas mereka memasuki alam pekerjaan,”
katanya.-pr/BNN