Kerajaan Perlu Bantu Golongan Profesional Muda-Razali

0
373
Mukhriz (tiga dari kiri) bersama Razali (kanan) dan golongan profesional yang menghadiri majlis itu.

KOTA KINABALU:  Kerajaan perlu memberi bantuan kepada golongan profesional muda untuk memulakan perniagaan sendiri, kata Pengerusi
Biro Perumahan dan Hal Ehwal Bandar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Encik Razali Razi.

Katanya, Sabah mempunyai ramai profesonal muda seperti peguam, jurutera, akauntan dan lain-lain yang berminat untuk membuka syarikat perniagaan sendiri.

“Malangnya mereka juga menghadapi masalah  sukar mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang mereka

“Justeru sudah tiba masanya Kerajaan memberi bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman mudah kepada golongan profesional muda di negeri ini”, katanya.

Antara profesional muda yang menghadiri Program Dialog Rancangan Malaysia Ke 12

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Dialog Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) dan Aspirasi Bumipreneur Muda Sabah di TH Hotel, dekat sini.

Program itu  yang dihadiri oleh kira-kira 100 anak muda terdiri dalam kalangan profesional, dianjurkan oleh Biro Penerangan serta Biro Perumahan dan Hal Ehwal Bandar Bersatu Sabah dengan kerjasama Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu.

Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Encik Khairul Firdaus Akbar.

Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Sepanggar berkata, bantuan dalam bentuk dana amat penting selaras dengan wawasan Kemakmuran Bersama dapat direalisasikan.

Beliau optimis kerajaan akan memberi perhatian khusus kepada golongan profesional muda selain belia dari kumpulan B40 yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah memuji inisiatif pimpinan Bersatu Sabah dalam menganjurkan program seumpama itu.

“Program ini memberi peluang kepada golongan muda profesional dalam bidang keusahawanan memberi idea selaras perkembangan terkini dan dasar kerajaan baharu”, tegasnya.

Katanya, aspirasi anak muda negeri ini yang disampaikan menerusi program itu akan disampaikan ke peringkat atasan khususnya Kerajaan Persekutuan, agar dasar-dasar yang menepati aspirasi dan citarasa golongan muda dapat digubal.

Sementara itu Ir. Amiruddin Hamzah pula berkata, aspirasi anak muda selaku enjin pembangunan ekonomi negara, akan terus digarap dan dijadikan sebahagian daripada input RMK12.

Katanya, perhatian terhadap aspirasi dan pandangan anak muda itu demi memastikan kerajaan berupaya memenuhi segala harapan dan kehendak anak muda, terutama dalam usaha merancakkan lagi penyertaan mereka dalam pembangunan ekonomi negara, sekali gus mengurangkan jurang antara wilayah, negeri, kaum dan sebagainya.-pr/BNN