KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, berkata tumpuan beliau adalah memastikan projek pembangunan negeri dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas berkesempatan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pejabat Merinyu Projek Sabah di Menara Kinabalu, semalam, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan pelaksanaan projek dipantau dengan berkesan dan mencapai hasil yang diharapkan rakyat.
“Untuk mengelakkan sebarang salah faham, pertemuan ini tidak menyentuh soal politik atau hubungan Barisan Nasional (BN)- Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai. Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS,” katanya Bendahari UMNO Sabah itu, menerusi hantaran di Facebook.
Salleh berkata, tanggungjawab beliau adalah membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, termasuk mengenal pasti masalah atau kelewatan lebih awal serta membantu mempercepatkan tindakan susulan.
Mengulas peranan BN Sabah, beliau berpandangan parti itu perlu melihat kedudukannya berdasarkan realiti politik Sabah ketika ini.
“Dengan pengalaman dan kekuatan akar umbi yang ada, BN boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam melengkapi GRS serta menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran, bukan semata-mata mengejar kedudukan dominan,” katanya.
Beliau berkata, soal politik diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti, manakala tumpuan beliau adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah.-pr/BNN





