KENINGAU: Pelantikan Alexsius Tingadon sebagai Ketua Daerah (KD) N.40 Bingkor disifatkan tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam kepimpinan, pengurusan, pendidikan dan perkhidmatan awam.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pengalaman Alexsius sebagai pengetua di beberapa sekolah menengah menjadi kelebihan dalam menggalas amanah itu, khususnya memperkukuh Institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN).

Katanya, pelantikan itu turut mempunyai nilai tersendiri kerana Alexsius ialah anak jati Bingkor daripada etnik Dusun Gana dan menjadi anak Dusun Gana pertama dilantik sebagai Ketua Daerah N.40 Bingkor.

“Saya melihat pelantikan Alexsius sebagai satu keputusan yang tepat. Beliau mempunyai pengalaman dalam kepimpinan, pengurusan, pendidikan serta perkhidmatan awam yang cukup luas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yazid yakin Alexsius mampu melaksanakan amanah dengan penuh integriti, adil dan profesional, terutama dalam memastikan adat istiadat masyarakat Anak Negeri terus dihormati dan dipelihara.

Menurutnya, MAN bukan sekadar berperanan menyelesaikan pertikaian berkaitan adat, malah penting dalam memelihara keharmonian, nilai budaya, maruah serta hubungan kekeluargaan masyarakat.

“Dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa dan agama, tadbir urus adat yang baik amat penting. Adat perlu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat, bukannya punca perpecahan,” katanya.

Beliau berharap kepimpinan baharu itu dapat memperkukuh kerjasama antara pemegang adat, pegawai MAN, pemimpin masyarakat, ketua kampung dan agensi kerajaan supaya urusan berkaitan adat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berwibawa.

Yazid berkata institusi adat perlu bergerak seiring perubahan zaman tanpa menghilangkan jati diri dan nilai warisan, manakala prinsip keadilan, integriti serta profesionalisme mesti menjadi asas dalam setiap keputusan.

“Saya bagi pihak Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor mengucapkan tahniah kepada Alexsius atas pelantikan ini. Kami mendoakan beliau diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk melaksanakan amanah besar ini,” katanya.-pr/BNN