SIPITANG SABAH: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik
Bajet 2022 Kerajaan Keluarga Malaysia yang dibentangkan di Parliamen.
Pengerusinya, Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz merupakan bajet prihatin bagi membantu pemulihan ekonomi rakyat dan negara.
Katanya, lebih mengembirakan para peladang ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima peruntukan yang lebih besar tahun hadapan berbanding Bajet tahun ini.
MAFI diperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion dibawah Bajet 2022. Peruntukan ini termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus sebanyak RM3.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak  RM1.54 bilion.
Nazri memberikan perhargaan kepada YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee diatas kebijaksanaan dan keperihatan beliau berunding dengan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kewangan sehingga MAFI mendapat peruntukan yang begitu besar untuk membela para peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
“Kami juga menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan Kerajaan untuk pemberian perlindungan takaful kepada semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit.
“Sudah tentu ini akan memberi faedah langsung kepada ahli-ahli peladang termasuk di Sabah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ jumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Bajet 2022 menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.
Nazri berkata, PPNS juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk terus memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.
Katanya, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi pelbagai subsidi kepada petani dan peladang akan membantu meringankan beban mereka selain membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.
Bajet 2022 mencadangkan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan dengan sebanyak 1.7 bilion ringgit, antaranya  1.5 bilion ringgit bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak 40 juta ringgit. Manakala insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah 150 juta ringgit.