Sayap UMNO Sabah perlu kerja keras kukuhkan parti-Hajiji

0
117
Hajiji bersalam dengan kepimpinan pergerakan Pemuda UMNO negeri Sabah sambil diperhatikan oleh Masidi (kiri).
KOTA KINABALU: Kepimpinan baharu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Sabah perlu terus berkerja keras bagi memastikan parti itu terus kukuh, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, mereka perlu mengubah sikap, minda dan menyesuaikan diri sebagai parti pembangkang, memandangkan UMNO bukan lagi tunjang Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti dahulu.
Menurutnya, ketiga-tiga sayap pergerakan itu juga perlu mengadakan gerak kerja yang bersesuaian di kawasan masing-masing bagi memantapkan lagi perjuangan dan kedudukan parti.
Beliau berkata, program dan gerak kerja yang akan dibuat hendaklah menjurus kepada menarik sokongan dan pengundi dalam golongan remaja ke dalam UMNO.
“Kita tidak boleh terus menganjurkan program atau aktiviti yang hanya bersifat “siok sendiri” yang hanya melibatkan ahli parti sahaja seperti dahulu, sebaliknya berusaha meraih sokongan rakyat terutamanya menarik penyertaan golongan profesional dan intelek ke dalam UMNO.
“UMNO mengalu-alukan sokongan dan penyertaan profesional muda bersama-sama berjuang untuk kepentingan masa depan banga, agama dan negara. Pintu UMNO terbuka luas kepada mereka yang ikhlas mahu berkhidmat kepada rakyat”, tambahnya.
Katanya, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga hendaklah menambah ahli dan cawangan masing-masing di seluruh negeri agar ianya terus mantap dan relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat”, katanya.
Hajiji yang baru menggalas tugas mengetuai UMNO Sabah berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama ketua wanita, pemuda dan puteri UMNO bahagian-bahagian seluruh negeri di bangunan Badan Perhubungan UMNO Sabah, hari ini.
Perjumpaan itu turut dihadiri oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun,  kepimpinan baru sayap-sayap UMNO iaitu Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Hajah Aminah  Haji Johan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri yang baharu, Aziz Zulkarnain dan Penolong Setiausaha Puteri Negeri, Suzie Hamat.
Hajiji yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran menegaskan, anggota ketiga-tiga sayap UMNO itu juga perlu sentiasa mendampingi pengundi-pengundi muda bagi meraih sokongan mereka.
“Kita perlu terus berkhidmat kepada rakyat walaupun kini berfungsi sebagai pembangkang. Berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan “humble” dan bukan untuk kepentingan peribadi agar pengundi-pengundi muda tertarik dengan perjuangan UMNO”, tegasnya.
Katanya sokongan daripada pengundi muda dan golongan belia terhadap perjuangan UMNO amat penting apabila had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun ke 16 tahun.-Oleh L.S.Kuang/BNN