KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) terus memperkukuh jaringan strategik dengan pemain industri menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AMCO Niaga Sdn Bhd bagi meneroka peluang baharu dalam sektor pertanian negeri.
MoU itu ditandatangani Pengarah Urusan AMCO Niaga Sdn Bhd, Tuan Haji Mat Amin Jaafar dan Pengerusi syarikat, Datuk Dr Sylvester Entri Muran, manakala PPNS diwakili Timbalan Pengerusi, Datuk Ng Loi Tect dan Ahli Jemaah Pengarah, Sylvia Beringgi.
Majlis berkenaan disaksikan Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak dan Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah di sebuah hotel di sini.
AMCO Niaga mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang agrokimia, baja, input pertanian dan perkhidmatan berkaitan, sekali gus membuka ruang luas untuk kedua-dua pihak meneroka potensi kerjasama.
Kerjasama itu membolehkan PPNS dan AMCO Niaga berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam usaha mengenal pasti pendekatan dan peluang yang mampu memberi nilai tambah kepada sektor pertanian.
“PPNS menghargai kesediaan AMCO Niaga berkongsi kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, khususnya dalam membantu memperkukuh ekosistem pertanian serta meningkatkan manfaat kepada komuniti peladang.
“Kerjasama tersebut diharap menjadi permulaan kepada usaha lebih tersusun dan berimpak dalam memperkasa peladang serta menyokong pembangunan sektor pertanian Sabah secara berterusan”, kata Mohd. Nazri.-pr/BNN





