KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama S&H Techventure Sdn Bhd bagi meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh sektor pertanian dan memberi manfaat kepada komuniti peladang di negeri ini.
MoU itu ditandatangani Pengarah S&H Techventure Sdn Bhd, Tuan Haji Ishak Abd Wahab dan Penasihat syarikat, Haji Azhari Yahya, manakala PPNS diwakili Timbalan Pengerusi, Datuk Ng Loi Tect dan Ahli Jemaah Pengarah, Sylvia Beringgi.
Majlis berkenaan disaksikan Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak dan Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah.
S&H Techventure Sdn Bhd ialah syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor pertanian, termasuk pembekalan input pertanian, tanaman kontan dan komoditi serta perkhidmatan pengurusan ladang.
Kerjasama itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi kepakaran, mengenal pasti peluang yang bersesuaian serta meneroka inisiatif yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian Sabah.
Bagi PPNS, setiap bentuk kerjasama perlu dinilai secara teliti bagi memastikan ia benar-benar memberi nilai tambah kepada peladang, selain menyokong pembangunan pertanian negeri secara berterusan.
Kerjasama itu diharap menjadi langkah awal kepada hubungan strategik yang saling menguntungkan, khususnya dalam memperluas peluang dan meningkatkan manfaat kepada komuniti peladang di Sabah.-pr/BNN





