Datuk Speaker,

  1. Dengan penuh takzim, saya mohon izin untuk membentangkan cadangan Belanjawan Negeri Sabah bagi Tahun 2022 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.

MUKADIMAH

Datuk Speaker,

  1. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah Subahanahu Wa Ta’ala atas kekuasaan dan kebesaran-Nya kita dapat sekali lagi bersidang di Dewan yang mulia ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wasallam, para sahabat dan keluarga baginda.
  2. Saya juga bersyukur kerana dengan limpah rahmat dan izinNya jua, pada petang Jumaat yang penuh keberkatan ini, saya diberikan ruang dan kesempatan untuk terus menunaikan amanah serta tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan bagi membentangkan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2022 di hadapan para Ahli Yang Berhormat yang dipilih mewakili seluruh rakyat di Sabah.
  3. Belanjawan 2022 merupakan bajet tahunan kedua di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Suka saya mengimbas kembali bahawa Hala Tuju SMJ yang telah dilancarkan pada 29 Mac 2021 adalah berpaksikan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah dimurnikan melalui rangkuman aspirasi rakyat dan diangkat sebagai agenda utama pembangunan negeri.
  4. Matlamat Hala Tuju ini adalah untuk memacu pembangunan yang komprehensif bertunjangkan kekuatan jati diri dan keteguhan patriotisme terhadap tanah air tercinta. Ini bersesuaian dengan tema Sabah Maju Jaya yang merupakan slogan jata negeri milik setiap anak watan sejak sekian lama.

Pelan Pembangunan ini memayungi pelbagai pelan sectoral sedia ada. Ia juga telah dijajarkan dengan pelan-pelan di peringkat nasional dan global seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030).

  1. Pelan ini ditunjangi tiga teras utama iaitu S, M, dan J meliputi:

S: Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi melibatkan

Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan;

M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

  1. Sejak pelancaran SMJ, pelbagai inisiatif di bawah tiga terutama tersebut telah dan sedang giat dilaksanakan untuk manfaat rakyat dan negeri. Sungguhpun pelaksanaan sepenuhnya sebahagian inisiatif di bawah pelan ini turut terkesan dengan faktor pandemik COVID-19, namun status kemajuannya adalah memberangsangkan. Kad Laporan Pencapaian bagi setiap kementerian akan dibentangkan secara tahunan bermula pada 29 Mac 2022. Insya Allah, bermula tahun hadapan, kita mensasarkan lebih banyak inisiatif dapat digerakkan melalui Belanjawan 2022 dengan situasi pandemik COVID-19 yang semakin terkawal

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI: DUNIA DAN MALAYSIA

Datuk Speaker,

  1. Hakikatnya, COVID-19 masih menjadi isu utama yang membelenggu kehidupan manusia di seluruh dunia. Sehingga kini, semua pihak masih berusaha menangani krisis yang telah mengorbankan banyak jiwa dan memberi impak negatif dan amat besar ke atas ekonomi, sosial dan cara hidup masyarakat global. Pandemik ini juga telah mengubah gaya hidup kepada norma baharu dengan pengamalan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan dan perlu dipatuhi.
  2. Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi memastikan rakyat mendapat perlindungan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat 1 Disember 2021, Sabah telah mencapai kadar 75% vaksinasi lengkap bagi golongan dewasEKONOMI DUNIA

Datuk Speaker,

  1. Ekonomi dunia mula menunjukkan pertumbuhan di ambang pasca pandemik dengan kadar tidak sekata dan lemah. Pertumbuhan diunjurkan sebanyak 6 peratus pada tahun 2021 dan menguncup kepada kadar 4.9 peratus pada tahun 2022.

Unjuran pertumbuhan ini sebahagian besarnya disumbang oleh ekonomi kelompok Negara Maju, terutamanya Amerika Syarikat yang didorong oleh pakej rangsangan ekonomi serta kejayaan program vaksinasi. Manakala, bagi kategori Negara Ekonomi Membangun dan Pasaran Baru Muncul, peningkatan gelombang COVID-19 dan kelewatan akses kepada vaksinasi  telah memberi kesan kepada aktiviti perdagangan negaranegara terbabit.

  1. Ekonomi Amerika Syarikat diunjurkan tumbuh pada kadar 7 peratus pada tahun 2021 sebelum menguncup pada kadar 4.9 peratus pada tahun 2022, apabila dasar sokongan fiscal dan monetori Kerajaan akan mula berkurangan. Sementara itu, dengan berlatar belakangkan persekitaran kesihatan yang semakin pulih dan kelonggaran sekatan pandemik, ekonomi Kesatuan Eropah diunjurkan tumbuh masing-masing pada kadar 4.6 peratus dan 4.3 peratus pada tahun 2021 dan 2022.
  2. Manakala, ekonomi Jepun diunjurkan tumbuh pada kadar 2.8 peratus pada tahun 2021 dan meningkat kepada 3 peratus pada tahun 2022. Negara China pula menjangkakan ekonomi negara tersebut akan berkembang sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2021 sebelum menguncup kepada kadar 5.7 peratus pada tahun berikutnya. Ini adalah susulan kepada langkah pihak berkuasa negara berkenaan yang dilihat lebih focus dalam usaha mengurangkan risiko kestabilan kewangan. Pada masa yang sama, unjuran pertumbuhan ekonomi India dilihat kukuh pada kadar 9.5 peratus pada tahun 2021 sebelum menyusut sedikit kepada 8.5 peratus pada tahun 2022.

EKONOMI MALAYSIA

Datuk Speaker,

  1. Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia kekal berada di landasan pemulihan pada tahun 2021 dan proses pemulihan ini dijangka akan lebih rancak lagi pada tahun 2022. Ini disokong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat, dasar sokongan mampan kerajaan dan peningkatan berterusan dalam permintaan luaran. Justeru, diunjurkan ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang di antara 4 peratus hingga 5 peratus pada suku tahun keempat tahun 2021. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga kekal meningkat kepada USD115.2 billion setakat 30 September 2021.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI: SABAH

Datuk Speaker,

  1. Sabah juga tidak terkecuali daripada menerima impak negative yang dicetuskan oleh penularan virus COVID-19. Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sabah menyusut sebanyak 9.5 peratus iaitu daripada RM85.6 bilion pada tahun 2019 kepada RM77.5 bilion pada tahun 2020. Pendapatan Per Kapita Sabah juga telah menurun kepada RM21,626.00 pada tahun 2020 berbanding RM25,375.00 pada tahun 2019. Ini adalah kesan langsung daripada pertumbuhan negatif semua sektor ekonomi utama negeri ini dalam tahun 2020.
  2. Sektor Pembinaan merupakan antara sektor yang paling terjejas dengan mencatat pertumbuhan negatif pada kadar 29.1 peratus dalam tahun 2020. Ini didorong oleh pertumbuhan negatif sub-sektor kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman. Syarat pematuhan SOP termasuk had jumlah pekerja yang dibenarkan di tapak pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempengaruhi penyusutan pertumbuhan sektor berkenaan.
  3. Sektor Perlombongan dan Pengkuarian juga mencatatkan pertumbuhan negatif pada kadar 13.5 peratus pada tahun 2020 disebabkan penyusutan bagi aktiviti pengekstrakan petroleum mentah dan gas asli.
  4. Manakala, pertumbuhan Sektor Perkhidmatan direkodkan telah menyusut kepada 7.4 peratus pada tahun 2020 yang didorong oleh penyusutan pertumbuhan sub-sektor Perdagangan Borong dan Runcit; Penginapan, Makanan dan Minuman; Pengangkutan dan Penyimpanan; serta Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan. Kelembapan aktiviti-aktiviti dalam sektor pelancongan secara langsung mempengaruhi penguncupan pertumbuhan semua sub-sektor tersebut.

Industri pelancongan menerima kesan yang paling ketara dengan ketibaan pelancong ke Sabah telah menurun secara drastik daripada 4.2 juta orang pada tahun 2019 kepada 977,460 orang sahaja pada tahun 2020 iaitu penyusutan sebanyak 76.7 peratus. Setakat Oktober 2021, bilangan pelancong jauh menurun kepada 156,535 orang sahaja.

  1. Sektor Pertanian pula merekodkan pertumbuhan negatif pada kadar 6.6 peratus pada tahun 2020. Ini dipengaruhi oleh penurunan dalam sub-sektor tanaman khususnya pengeluaran kelapa sawit dan kelembapan aktiviti perhutanan dan pembalakan.
  2. Pertumbuhan Sektor Pembuatan pada tahun lepas telah menyusut sebanyak 6.5 peratus. Pengurangan dalam pembuatan minyak sawit mentah dan minyak sawit bertapis bagi kumpulan sub-sektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan menyumbang kepada penguncupan pertumbuhan sektor ini.

Datuk Speaker,

  1. Pandemik COVID-19 juga telah merencatkan aktiviti perdagangan Sabah dengan rakan-rakan dagangan utama. Jumlah nilai eksport telah menyusut sebanyak 16 peratus daripada RM49.2 bilion pada tahun 2019 kepada RM41.3 biliion pada tahun 2020. Manakala, nilai import telah meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM38.1 bilion pada tahun 2020 berbanding RM35.3 bilion pada tahun sebelumnya. Sungguhpun demikian, Sabah masih mencatatkan lebihan dagangan positif sebanyak RM3.3 bilion pada tahun 2020. Kadar inflasi pada tahun 2020 telah menurun kepada negatif 1.9 peratus daripada 0.2 peratus pada tahun 2019.
  2. Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan impak negatif pandemik ini bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah. Pelbagai inisiatif yang telah dan sedang kita laksanakan termasuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri. Di samping itu, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan pelbagai pakej rangsangan oleh Kerajaan Persekutuan telah berjaya membantu mempergiatkan lagi usaha pemulihan ekonomi negeri.
  3. Alhamdulillah, dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan, pertumbuhan negatif pelbagai sektor pada tahun 2020 telah mula berkembang kepada pertumbuhan positif pada tahun 2021. Pertumbuhan ekonomi Sabah pada tahun 2021 dijangka menunjukkan tren pemulihan dan akan berkembang secara perlahan tetapi positif pada kadar 3.8 peratus hingga 4 peratus.
  4. Jumlah keseluruhan eksport negeri dalam enam bulan pertama tahun ini telah meningkat 22.7 peratus dan mencecah RM24.9 bilion berbanding RM20.3 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Ini didorong oleh pengukuhan harga dan peningkatan nilai eksport beberapa komoditi utama khususnya minyak sawit dan petroleum mentah. Manakala, jumlah nilai import negeri dalam enam bulan pertama tahun ini telah menyusut sebanyak 34.5 peratus kepada RM15.2 bilion daripada RM23.2 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Oleh itu, Sabah telah mencatatkan lebihan dagangan positif sejumlah RM9.7 bilion pada enam bulan pertama tahun 2021 berbanding dengan hanya RM3.3 bilion sepanjang tahun 2020.
  5. Kadar inflasi Negeri Sabah dalam tempoh Januari hingga Jun 2021 adalah 1.4 peratus berbanding negatif 1.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2020. Secara keseluruhannya, antara isu utama yang perlu ditangani segera pada masa ini adalah kesihatan awam, kos sara hidup, ketidak seimbangan pembangunan wilayah, kadar kemiskinan dan pengangguran yang kesemuanya berkait rapat dengan tuntutan keutamaan untuk memulihkan kedudukan ekonomi pada kadar segera untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat.

Datuk Speaker,

  1. Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri komited untuk memperhebatkan lagi usaha bagi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunandan menarik pelaburan berimpak tinggi yang merentasi semua sektor. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memperkasa pelaksanaan projek-projek pembangunan sedia ada dan baharu di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12) bagi tempoh 2021 hingga 2025. Selain melonjakkan pertumbuhan ekonomi, usaha ini disasarkan untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
  2. Kerajaan Negeri juga akan memperkasa pelaksanaan projekprojek berimpak tinggi yang menjadi flagship Hala Tuju SMJ melalui pelaburan asing dan domestik. Antaranya tiga pelaburan awal yang telah dimeterai pada 22 Mac 2021 iaitu Projek Pembinaan Kilang Pembuatan Kerajang Tembaga di Kota Kinabalu Industrial Park bernilai RM4.2 bilion, Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pembangunan kasar projek (GDV) sebanyak RM7 bilion dan Projek Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta.
  3. Projek-projek berskala besar melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan seperti Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar, Projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek- projek di bawah Program Jalan Luar Bandar yang sedang dalam pelaksanaan akan membantu proses rangsangan ekonomi.
  4. Saya yakin dengan pelaksanaan pelbagai projek ini, prospek ekonomi Sabah dalam tahun 2022 akan menunjukkan tren pemulihan yang lebih baik selari dengan pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global. Unjuran ekonomi Sabah bagi tahun 2022 dijangka tumbuh pada paras 4 peratus hingga 4.5 peratus. Kita akan memantau dan memastikan semua projek yang disenaraikan di dalam Bajet Persekutuan 2022 dan Belanjawan Negeri ini akan dilaksanakan dengan segera untuk menggerakkan rangsangan ekonomi sepenuhnya.

TEMA DAN FOKUS BELANJAWAN NEGERI TAHUN 2022

Datuk Speaker,

  1. Selari dengan tuntutan dan keutamaan semasa, tema Belanjawan Negeri Tahun 2022 ialah “Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”. Tema ini dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri memulihkan ekonomi yang terkesan daripada pandemik dan meningkatkan kesejahteraan rakyat sekali gus menjayakan hala Tuju Sabah Maju Jaya.
  2. Bagi merealisasikan matlamat tema belanjawan ini, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan Belanjawan Tahun 2022 berjumlah RM4.596 bilion dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion. Ini bermakna Belanjawan 2022 Negeri Sabah adalah Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) berjumlah RM110.68 juta.

Datuk Speaker,

  1. Agihan peruntukan Anggaran Perbekalan dan Anggaran Pembangunan Negeri dalam Tahun 2022 mengikut Kementerian adalah seperti berikut: Pertama : Kementerian Kewangan, Anggaran Perbekalan RM1.824 bilion dan Anggaran Pembangunan RM4.0 juta; Kedua : Kementerian Kerja Raya, Anggaran Perbekalan RM770.10 juta dan Anggaran Pembangunan RM244.97 juta; Ketiga : Jabatan Ketua Menteri, Anggaran Perbekalan RM514.94 juta dan Anggaran Pembangunan RM161.59 juta; Keempat : Kementerian Pertanian dan Perikanan, Anggaran Perbekalan RM319.01 juta dan Anggaran Pembangunan RM111.87 juta;

Kelima : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Anggaran Perbekalan RM206.01 juta dan Anggaran Pembangunan RM10.60 juta; Keenam : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Anggaran Perbekalan RM113.35 juta dan Anggaran Pembangunan RM18.58 juta; Ketujuh : Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Anggaran Perbekalan RM122.40 juta dan Anggaran Pembangunan RM11.72 juta; Kelapan : Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Anggaran Perbekalan RM87.66 juta dan Anggaran Pembangunan RM123.0 juta; Kesembilan : Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Anggaran Perbekalan RM80.59 juta dan Anggaran Pembangunan RM15.30 juta; Kesepuluh : Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Anggaran Perbekalan RM121.22 juta dan Anggaran Pembangunan RM13.89 juta; Kesebelas : Kementerian Pembangunan Perindustrian, Anggaran Perbekalan RM19.91 juta dan Anggaran Pembangunan RM26.05 juta; Keduabelas : Perbelanjaan Yang Diuntukkan, Anggaran Perbekalan RM383.04 juta; dan Ketigabelas : Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian – Kementerian, Anggaran Perbekalan RM33.73 juta.

ANGGARAN HASIL DAN PERBELANJAAN TAHUN 2022 ANGGARAN HASIL TAHUN 2022

Datuk Speaker,

  1. Kita akan mengurus belanjawan ini dengan sebaiknya dan penuh tanggungjawab untuk memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berada dalam keadaan yang stabil dan tidak menjejaskan rezab sedia ada. Keupayaan kita untuk meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan bergantung kepada kemampanan hasil negeri.
  2. Alhamdulillah, kita bersyukur apabila harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021. Ekoran itu, sasaran kutipan hasil tahun ini dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 telah meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 2021. Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion.
  3. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas khususnya PETRONAS atas komitmen melaksanakan tanggungjawab pembayaran cukai ini.

Datuk Speaker,

  1. Mengambil kira sebahagian besar hasil negeri adalah disumbangkan oleh komoditi minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum, Kerajaan Negeri perlu berhemat dan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil 2022 agar kedudukan kewangan Kerajaan kekal kukuh. Ini adalah kerana penentuan harga komoditi ini terdedah kepada risiko perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi dan pasaran global yang di luar kawalan kita.

Disebabkan faktor-faktor tersebut, maka Kerajaan Negeri  mengunjurkan Anggaran Hasil Tahun 2022 adalah berjumlah RM4.707 bilion.

Datuk Speaker,

  1. Dalam Anggaran Hasil Tahun 2022, Hasil Cukai dijangka menyumbang 44.5 peratus iaitu RM2.094 bilion. Manakala, Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2.138 bilion atau 45.4 peratus. Sementara itu, kita dijangka menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui kategori Terimaan Bukan Hasil.
  2. Harga petroleum yang tinggi pada ketika ini akan menyumbang kepada peningkatan jangkaan royalti yang bakal diterima pada tahun hadapan, menjadikan Royalti Petroleum sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM1.2 bilion atau 25.5 peratus. Ini diikuti dengan Cukai Jualan Produk Petroleum dengan sumbangan sebanyak RM1.1 bilion atau 23.4 peratus dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sebanyak RM810 juta atau 17.2 peratus.
  3. Dari aspek Hasil Cukai, tiga penyumbang utama di bawah kategori ini adalah Cukai Jualan Negeri yang menyumbang 41.7 peratus dengan anggaran RM1.965 bilion; Sewa Tanah menyumbang 1.9 peratus dengan anggaran RM88 juta serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga menyumbang 1 peratus dengan anggaran RM47.17 juta.
  4. Di bawah Hasil Bukan Cukai, selain Royalti Petroleum, hasilhasil utama yang lain ialah Jualan Air sejumlah RM280 juta; Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek berjumlah RM150 juta; Premium Tanah dengan anggaran RM146 juta; Royalti Keluaran Hutan dan Royalti Eksport Kayu Diproses berjumlah RM113.26 juta serta Dividen berjumlah RM104 juta.

Datuk Speaker,

  1. Bagi kategori Terimaan Bukan Hasil pula, Pemberian Kerajaan Persekutuan adalah merupakan objek utama dengan anggaran RM474.82 juta. Daripada jumlah ini, RM197.82 juta adalah dalam bentuk pemberian yang akan diterima oleh Kerajaan Negeri secara langsung iaitu Pemberian Mengikut Kiraan Kepala, Pemberian Pertambahan Hasil, Pemberian untuk Menggantikan Duti Import/Eksais Keatas Petroleum dan Pemberian Khas. Baki sebanyak RM277 juta lagi adalah Pemberian bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi Jabatan-Jabatan di Bawah Senarai Bersama dan Sumbangan kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan.

ANGGARAN PERBELANJAAN PERBEKALAN TAHUN 2022

Datuk Speaker,

  1. Bagi tujuan membiayai operasi dan pengurusan Kerajaan, sebanyak RM4.596 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2022. Jumlah ini melibatkan kenaikan sebanyak RM293.52 juta atau 6.82 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2021 sebanyak RM4.303 bilion. Jumlah ini diagih untuk tujuan pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.
  2. Daripada jumlah keseluruhan Anggaran Perbekalan 2022, sejumlah RM758.99 juta disyorkan untuk Emolumen. Jumlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM22.34 juta atau 3.03 peratus berbanding dengan anggaran tahun 2021 berjumlah RM736.65 juta. Faktor utama peningkatan ini adalah disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan anggota perkhidmatan awam negeri.
  3. Manakala, Perbelanjaan Berulang disyorkan sebanyak RM1.809 bilion. Jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak RM206.55 juta atau 12.89 peratus berbanding anggaran tahun 2021 sebanyak RM1.602 bilion. Kenaikan Perbelanjaan Berulang mengambil kira peningkatan bagi tujuan penyelenggaraan dan pengendalian masjid, surau dan sekolah agama, penyenggaraan loji dan Program Pengurusan Ternak, program-program di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Program Institut Latihan Teknik dan Perdagangan Kampus Utama Papar dan Cawangan Kota Kinabalu dan Program Isyarat Jalan Lalu Lintas.
  4. Bagi Perbelanjaan Khas pula, disyorkan sebanyak RM2.028 bilion. Jumlah ini juga meningkat sebanyak RM64.63 juta atau bersamaan 3.29 peratus berbanding anggaran tahun 2021 yang berjumlah RM1.963 bilion. Peningkatan Perbelanjaan Khas adalah bagi meneruskan usaha Kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang melibatkan peningkatan peruntukan untuk Penyediaan Infrastruktur Sokongan, program membaik pulih kerosakan akibat bencana alam di bawah Jabatan Pembetungan Sabah, Pelaburan Ekuiti dan Pinjaman kepada Badan-badan Berkanun dan Agensi Awam, program di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta peruntukan berkaitan pengurusan isu COVID-19.

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2022

Datuk Speaker,

  1. Perbelanjaan Pembangunan Negeri merupakan sumber penting untuk memacu pembangunan dalam pelbagai sector dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan ini diagih dan dikawal melalui Belanjawan Pembangunan. Peruntukan untuk tujuan ini diperoleh daripada caruman Anggaran Perbekalan Negeri dan juga sumber kewangan Persekutuan dalam bentuk Pemberian, Imbuh Balik dan Pinjaman.
  2. Bagi maksud Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM1.368 bilion dicadang diperuntukkan dalam tahun 2022. Jumlah ini merangkumi peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM741.57 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM626.58 juta. Peruntukan Kerajaan Persekutuan ini termasuk Pembayaran Imbuh Balik Persekutuan berjumlah RM65.25 juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM561.33 juta.
  3. Selaras dengan inti pati tema Belanjawan kali ini, agihan peruntukan pembangunan tahun hadapan masih lagi tertumpu kepada Sektor Ekonomi sebagai penerima amaun terbesar iaitu sebanyak RM487.26 juta atau bersamaan dengan 66 peratus. Ini diikuti oleh Sektor Sosial yang diagihkan sebanyak RM236.86 juta atau 32 peratus dan seterusnya Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM17.45 juta iaitu bersamaan 2 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk tahun 2022.
  4. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri masih mengekalkan siling peruntukan pembangunan yang diluluskan dalam RMKe-12, iaitu sebanyak RM4.217 bilion bagi membiayai sebanyak 778 projek pembangunan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 227 buah projek merupakan projek sambungan dan 551 projek lagi adalah projek baharu.

SEKTOR UTAMA FOKUS PERTUMBUHAN EKONOMI

Datuk Speaker,

  1. Strategi dan pendekatan untuk merancakkan pembangunan akan tertumpu kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif dan fokus utama pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan. Pada tahun 2022, sebanyak RM919.18 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan ketigatiga sektor tersebut. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM8.48 juta atau bersamaan 0.92 peratus berbanding peruntukan tahun 2021 iaitu sebanyak RM910.7 juta.

SEKTOR PERTANIAN

Datuk Speaker,

  1. Sektor Pertanian merupakan sektor terbesar pertumbuhan ekonomi negeri dalam Hala Tuju SMJ. Kerajaan komited untuk terus memperkasa pembangunan sektor pertanian melibatkan empat sub-sektor iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan/Akuakultur dan Komoditi Getah. Matlamat Kerajaan dalam memacu sektor ini adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil serta produk pertanian negeri dan memastikan tahap sara diri atau Self-Sufficiency Level (SSL) ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif pemodenan.
  2. Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang produktif dalam menyediakan bahan makanan kepada penduduk, peluang perniagaan dan pekerjaan serta sumber bahan mentah kepada sektor pembuatan. Justeru, sebanyak RM561.81 juta diperuntukkan kepada sektor pertanian pada tahun hadapan. Pada tahun 2022, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAF) diperuntukkan sebanyak RM65.09 juta bagi tujuan perbelanjaan perbekalan.
  3. Sub-sektor tanaman merupakan antara penyumbang utama pembangunan ekonomi Sabah. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM33.7 juta bagi peruntukan pembangunan dan RM79.54 juta bagi peruntukan perbekalan kepada Jabatan Pertanian Sabah. Peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan program-program berkaitan dengan pengeluaran tanaman makanan, pensijilan ladang, penyelidikan tanaman dan inovasi pertanian, penguatkuasaan bio-sekuriti dan kuarantin tumbuhan serta pemerkasaan usahawan tani.
  4. Bagi sub-sektor perikanan, sebanyak RM12.09 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan dan sebanyak RM24.85 juta bagi perbelanjaan perbekalan bagi tahun 2022. Fokus pelaksanaan program dan projek di bawah sub-sektor ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran hasil ikan, akuakultur rumpai laut dan ikan hiasan, pengurusan sumber perikanan dengan cekap melalui penggunaan aplikasi teknologi baharu dan urus tadbir perikanan yang baik.
  5. Manakala bagi sub-sektor ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan sebanyak RM56.8 juta bagi perbelanjaan perbekalan dan sebanyak RM16.32 juta bagi perbelanjaan pembangunan yang melibatkan pelaksanaan sebanyak 43 program. Sebanyak RM19.5 juta merupakan peruntukan imbuh balik Persekutuan yang melibatkan pelaksanaan sebanyak tujuh program pembangunan.
  6. Bagi menyokong pembangunan dan penyelenggaraan

infrastruktur pengairan dan saliran, sejumlah RM92.7 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah perbelanjaan perbekalan. Di samping itu, Kerajaan Negeri meluluskan siling peruntukan sebanyak RM68.51 juta dalam RMKe-12 untuk membangunkan beberapa kemudahan pengairan dan saliran di daerah Kota Marudu, Keningau, Sandakan dan Beaufort. Untuk tujuan ini, sejumlah RM6.7 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan pada tahun hadapan.

  1. Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk mengurangkan masalah banjir melalui pengurusan dan pembangunan tebatan banjir, sungai dan pantai. Oleh itu, sejumlah RM19.2 juta diperuntukkan bagi tahun 2022. Selain itu, sejumlah RM2.16 juta diperuntukkan bagi pengurusan infrastruktur hidrologi, sumber air dan pembinaan pejabat.

Datuk Speaker,

  1. Bagi membolehkan tanaman padi sawah dapat diusahakan dua kali setahun sekali gus meningkatkan pengeluaran padi, infrastruktur pengairan dan saliran di Kota Marudu, Trusan

Sapi di Beluran dan Tambunan akan dinaik taraf yang  melibatkan keluasan 3,584 hektar menerusi peruntukan imbuh balik Persekutuan sebanyak RM38 juta.

 

  1. Pada tahun 2022, Lembaga Indusri Getah Sabah (LIGS) diperuntukkan sebanyak RM5.23 juta bagi perbelanjaan pembangunan. LIGS akan terus menerima geran bantuan Kerajaan sebanyak RM11 juta pada tahun 2022. Pembayaran Insentif Harga Getah kepada pekebun kecil akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

 

  1. LIGS juga akan meneruskan pembangunan kawasan lading melalui Program High Impact Project (HIP) Tanam Baru dan Tanam Semula Getah Secara Berkelompok yang melibatkan 2,333 pekebun kecil. Selain itu, LIGS juga akan terus melaksanakan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)

kepada pekebun-pekebun kecil getah dengan empat bidang usaha iaitu tanaman halia, nanas MD2, pisang nipah dan penternakan ikan tilapia.

  1. Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) bertanggungjawab untuk membantu para petani dan nelayan dalam pembangunan dan peningkatan hasil pertanian dan perikanan. Oleh itu, pada tahun 2022, sejumlah RM7.39 juta dan RM8.06 juta diperuntukkan masing-masing kepada KPD dan Ko-Nelayan untuk program pembangunan. Manakala, sejumlah RM12 juta diperuntukkan sebagai geran bantuanKerajaan kepada KPD dan RM9 juta kepada Ko-Nelayan

SEKTOR PERINDUSTRIAN

Datuk Speaker,

  1. Selain Sektor Pertanian, Belanjawan Negeri 2022 akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Sektor Perindustrian yang merupakan sektor kedua focus pertumbuhan ekonomi. Susulan daripada kejayaan pelaksanaan inisiatif pelaburan SK Nexilis, kita juga sedang dalam proses akhir rundingan untuk beberapa pelaburan lain yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan pelbagai kesan limpahan ekonomi lain.
  2. Bagi memperkasa lagi agenda pembangunan perindustrian, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM129.97 juta untuk pembangunan sector perindustrian dan perdagangan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (KPP), Kementerian

Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Kewangan.

  1. Daripada jumlah itu, sebanyak RM65.97 juta diperuntukkan kepada KPP termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan untuk melaksanakan pelbagai program bagi memastikan infrastruktur asas di taman-taman perindustrian sentiasa kondusif bagi menarik potensi pelaburan. Sepanjang RMKe-12, siling sebanyak RM116.67 juta telah diluluskan kepada KPP bagi memenuhi keperluan pembangunan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu dan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).
  2. Selain KKIP yang telah menerima pelaburan baharu pada tahun ini, sukacita dimaklumkan bahawa beberapa potensi pelaburan baharu sedang diusahakan untuk dilaksanakan di SOGIP. Antaranya pelaburan melibatkan gas asli cecair (LNG), pembuatan produk logam silikon, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu dan pemprosesan kitar semula teknologi hijau.

Datuk Speaker,

  1. Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada sektor pembuatan. Usaha akan dilipat gandakan untuk membantu pembangunan IKS termasuk dalam aspek pemasaran. Kerjasama dengan Pasaraya BATARAS dan PETRONAS Dagangan Berhad melalui program pemasaran produk IKS Sabah di Kedai Mesra PETRONAS akan diteruskan pada tahun 2022. Dianggarkan prestasi jualan bagi kedua-dua program ini menjelang Disember 2021 adalah sebanyak RM3.2 Juta.
  2. Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan bagi menubuhkan empat lagi Pusat IKS pada tahun 2022 di peringkat daerah untuk memasarkan produkproduk IKS. Program Bantuan IKS (BAIKS) yang telah membantu seramai 3,269 usahawan sejak dimulakan akan diteruskan. Kerajaan juga telah merancang pelbagai program bagi meningkatkan kualiti produk IKS dan meneroka pasaran luar negeri secara digital.
  3. Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) diperuntukkan sebanyak RM5.5 juta pada tahun 2022 untuk memulakan pembangunan rumah kedai di Sook dan pekan baharu Sapulut. Di samping itu, SEDCO akan terus menganjurkan program Tunas Niaga @ Protune bagi melahirkan dan membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah serta kursus-kursus intensif keusahawanan khas untuk lepasan graduan seperti Skim usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUT).
  4. Selain itu, sebanyak RM62 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan projek dan program berkaitan pembangunan industri. Melalui peruntukan dan pelbagai program yang dirancang, adalah disasarkan sektor perindustrian akan kembali pulih pasca pandemik.

SEKTOR PELANCONGAN

Datuk Speaker,

  1. Pandemik COVID-19 mengakibatkan pelancongan menjadi sektor yang terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan dan sekatan penerbangan keluar masuk di seluruh negara termasuk Negeri Sabah. Kerajaan Negeri bertekad untuk memulihkan segera industri pelancongan secara berperingkat dan sekali gus mengembalikan dan melonjakkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan tumpuan. Antara focus strategi yang sedang dilaksanakan adalah meningkatkan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti luar bandar, mempergiatkan pemasaran dan promosi serta memperkukuhkan dan menarik business events.
  2. Pada tahun 2022, secara keseluruhannya, sejumlah RM227.4 juta diperuntukkan kepada sektor pelancongan. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM131.93 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensi di bawahnya. Antara langkah yang dilaksanakan adalah melalui Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar sebagai sokongan dalam membangunkan fasiliti-fasiliti dan produk pelancongan luar bandar.
  3. Hasrat kita adalah untuk menjadi destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia dengan mencapai ASEAN Standard menjelang tahun 2025. Sabah mempunyai potensi tinggi untuk mencapai matlamat ini kerana pelancongan luar bandar berasaskan alam semulajadi seperti terapi alam (forest bathing) adalah faktor tarikan kepada pelancong dari negaranegara sasaran utama seperti Jepun, Korea dan Eropah. Setakat ini, Sabah mempunyai lebih 500 pengusaha pelancongan desa berasaskan komuniti.
  4. Selain itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan Tourism Satellite Account (TSA) yang akan menghasilkan satu data bersepadu sektor pelancongan. TSA akan berupaya mengukur nilai perbelanjaan pelancong domestik dan antarabangsa dan mengenal pasti nilai sumbangan industry pelancongan kepada KDNK Negeri termasuk data pekerjaan. Selain memanfaatkan agensi Kerajaan dan pemain industri, data komprehensif seumpama ini amat penting untuk merangka strategi bagi memastikan hasil negeri dapat ditingkatkan secara optimum dalam sektor pelancongan. Untuk tujuan ini, sejumlah RM8.08 juta diperuntukkan pada tahun 2022.

Datuk Speaker,

  1. Kerajaan Negeri juga memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan dan menarik Business Events. Selain hotel dan pusat peranginan sedia ada, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) melaporkan Sabah International Convention Center (SICC) dilihat menjadi aset yang berpotensi untuk menarik kumpulan Business Events apabila pintu sempadan telah dibuka kelak.
  2. Pada masa yang sama, perancangan jangka panjang untuk pembangunan sektor ini akan terus dilaksanakan termasuk penyediaan produk pelancongan berprestij dengan menarik pelancong berkualiti (high yield tourists) dan pelancong mewah (high-end tourists). Projek Lok Kawi Resort City dan penjenamaan semula Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) merupakan antara inisiatif awal, selain beberapa pelaburan lain dalam proses dimuktamadkan yang bertujuan menyediakan produk pelancongan berprestij. Selaras dengan tren pelancongan yang menjurus kepada pelancongan elit, kita tidak hanya boleh bergantung kepada pelancongan massa (mass tourism). Keutamaan perlu beralih dari fokus kuantiti kepada kualiti agar Sabah menjadi destinasi pelancongan yang berdaya saing dengan pulangan hasil yang lebih tinggi.
  3. Selain itu, kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang. Untuk tujuan itu, sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400 ribu kepad persatuan-persatuan kebudayaan bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa. Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi. Antara strategi yang akan digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan Pembangunan e-Heritage.

MODAL INSAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Pendidikan, Latihan dan ICT

Datuk Speaker,

  1. Selain penumpuan kepada sektor-sektor utama pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, Belanjawan 2022 juga memberikan fokus kepada teras kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat. Tanggungjawab ini diamanahkan kepada beberapa kementerian dan agensi. Antaranya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah diperuntukkan sebanyak RM127.06 juta untuk Program Pembudayaan dan Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi.
  2. Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) diperuntukkan sebanyak RM23.87 juta untuk tujuan pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan. Ini termasuk Program Pembangunan Sabah Talent and Entreprenuership (STEP) bagi membantu belia dan beliawanis yang telah kehilangan punca pendapatan. Selain itu, beberapa projek akan dilaksanakan untuk meningkatkan prasarana pusat latihan sedia ada dan kajian kemungkinan pembinaan lima kampus satelit JPSM.
  3. Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) juga akan menganjurkan pelbagai latihan berkonsepkan keusahawanan berteraskan inovasi bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak industri semasa. Seiring Revolusi Industri 4.0, Kerajaan Negeri meletakkan keutamaan untuk memastikan agar perkembangannya dapat diadaptasi dalam pelbagai sector ekonomi negeri. Oleh itu, peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre

(SSTC).

  1. Kita akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Sehubungan itu, sebanyak RM61.8 juta diperuntukkan bagi latihan, kursus dan pembangunan ICT. Ini termasuklah peruntukan di bawah KSTI sebanyak RM35.16 juta dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) berjumlah RM22.94 juta. JPKN akan terus komited dalam meningkatkan ciri-ciri keselamatan sistem aplikasi kerajaan dan memudahkan akses maklumat kepada rakyat.

Datuk Speaker,

  1. Selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui Pendidikan, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan RM55 juta. Keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.
  2. Agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat juga akan meliputi bantuan khas pendidikan kepada golongan yang memerlukan. Ini untuk memastikan setiap anak Sabah mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang akan diteruskan melibatkan 289,204 murid dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta.
  3. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masingmasing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta.
  4. Tahun hadapan, satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Melalui BISTARI, setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri. Inisiatif ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan dengan merintis galakan menabung untuk Pendidikan sejak dari awal kelahiran.
  5. Manakala bagi menyemarakkan pembudayaan ilmu dan pendidikan, Perpustakaan Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM40.57 juta termasuk untuk pembinaan tiga perpustakaan cawangan dan dua perpustakaan desa yang baharu. Usaha akan dilipat gandakan untuk memupuk budaya membaca melalui Program Gerakan Membaca dan menyediakan lebih banyak terbitan, koleksi bacaan dan bahan rujukan yang boleh diakses secara maya. Keagamaan dan Memartabatkan Perundangan Anak Negeri

Datuk Speaker,

  1. Pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat meliputi aspek keagamaan dan kerohanian. Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program-program keagamaan melalui penyaluran peruntukan perbekalan dan pembangunan sebanyak RM164.12 juta kepada agensi-agensi Kerajaan berkaitan, badan-badan keagamaan dan pendidikan. Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia, peruntukan ini meliputi semua agama dan kaum di negeri ini.
  2. Kesejahteraan rakyat juga akan terbina melalui keharmonian hidup bermasyarakat yang dilindungi kerukunan adat resam. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menambah baik pengurusan sistem perundangan anak negeri. Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk meneruskan sambungan secara berfasa pembinaan Projek Mahkamah Anak Negeri Sook, Paitan dan Pagalungan.
  3. Geran khas akademik telah diluluskan kepada UiTM Cawangan Sabah bagi menjalankan kajian pembangunan aplikasi e-NATIVE LAW Kit. Aplikasi ini yang akan dibangunkan oleh para pensyarah Undang-undang UiTM ini boleh menjadi sumber rujukan komprehensif bagi kakitangan Mahkamah Anak Negeri di semua peringkat dan boleh diakses oleh orang awam. Selain membolehkan semua pihak lebih memahami undang-undang anak negeri dan meningkatkan kecekapan pengurusan, inisiatif ini adalah antara langkah untuk memartabatkan Sistem Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah.

Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat

Datuk Speaker,

  1. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM134.12 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyantuni golongan yang memerlukan.
  2. Institusi keluarga adalah tonggak kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menekankan agenda untuk membangun dan memantapkan institusi keluarga menerusi pelaksanaan Program Kekeluargaan dan Program Kepenggunaan dengan peruntukan sebanyak RM1.08 juta. Program Pencegahan Dadah bersama PEMADAM akan diteruskan dengan peruntukan RM550 ribu.
  3. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am memperuntukkan sebanyak RM105.11 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dan pembangunan pada tahun 2022. Peruntukan ini termasuk RM60 juta bagi pemberian bantuan kebajikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.
  4. Di samping itu, usaha akan diteruskan untuk meningkatkan kemudahan kepada OKU seperti pembinaan bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sandakan dan bangunan TDKKU Mini di Daerah Kecil Sook dengan siling peruntukan di bawah RMKe-12 sebanyak RM58.19 juta. Pada masa yang sama, Yayasan Kebajikan Sabah telah mula beroperasi untuk membantu meningkatkan sistem penyampaian agenda kebajikan yang dihasratkan oleh Kerajaan melalui kerjasama dan sumbangan sektor korporat, NGO dan orang persendirian.

Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan

Datuk Speaker,

  1. Saya yakin kesemua Ahli Yang Berhormat bersetuju bahawa kesejahteraan rakyat amat bergantung kepada kesejahteraan para wanita. Wanita adalah tunjang keluarga dan masyarakat dan peranan mereka dalam pembangunan negeri adalah amat signifikan. Bagi menghargai sumbangan besar kaum wanita, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita.
  2. Peruntukan ini meliputi RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) untuk pengurusan operasi dan penyediaan kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita. Sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi pelaksanaan programprogram pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita. Program Outreach Santuni Wanita Merakyatkan Perkhidmatan ke Arah Kesejahteraan Wanita akan diteruskan untuk membantu wanita yang terkesan akibat Pandemik COVID-19.
  3. Sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan wanita, satu inisiatif baharu diperkenalkan khusus untuk Isteri kepada Ketua Isi Rumah atau Ketua Isi Rumah Wanita yang berdaftar dengan e-KASIH. Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri atau ringkasnya BAIDURI ini merupakan bantuan Kerajaan Negeri dalam bentuk dana awal caruman KWSP secara one-off berjumlah RM60.00 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan. Bantuan ini akan disusuli dengan pemberian insentif khas tambahan sebanyak RM480.00 seorang daripada Kerajaan Persekutuan melalui KWSP kepada wanita dalam kategori terlibat. Pelaksanaan BAIDURI akan memanfaatkan seramai 45,134 wanita melibatkan peruntukan RM2.7 juta pada tahun hadapan.

Datuk Speaker,

  1. Golongan belia tidak akan sesekali dikesampingkan. Sebagai generasi masa depan, agenda pembangunan belia perlu dilaksanakan dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang. Justeru, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) diperuntukkan sebanyak RM95.89 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutama dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula. Tumpuan adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing.
  2. Kerajaan akan meneruskan pemberian peruntukan sebanyak RM5 juta kepada persatuan-persatuan belia sebagai bantuan pelaksanaan program. Menyantuni cadangan daripada kumpulan anak muda, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS). Inisiatif ini melibatkan bantuan kepada para usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan.
  3. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Program Felo Belia Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) yang akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti KBSS, Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah.
  4. Sementara itu, program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga ke arah melakar nama negeri di peringkat antarabangsa. Oleh itu, penyertaan kejohanan ke peringkat antarabangsa dan bertaraf dunia akan diperluaskan bagi membantu meningkatkan prestasi atlet ke tahap yang lebih berprestij. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuk prasarana dan fasiliti sukan.

Pembangunan Bandar

Datuk Speaker,

  1. Kesejahteraan rakyat juga melibatkan dua komponen penting iaitu pembangunan bandar dan pembangunan luar bandar yang akan membentuk kualiti hidup masyarakat melalui kawasan persekitaran masing-masing.
  2. Bagi pembangunan bandar, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus komited untuk memberi penekanan terhadap usaha mentransformasi penyampaian perkhidmatan PBT, memantap dan melestarikan pembangunan sektor perumahan serta perancangan pembangunan guna tanah yang mampan dan sistematik.
  3. Bagi melaksanakan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM135.11 juta kepada KKTP. KKTP akan memulakan pelaksanaan beberapa projek baharu seperti Projek Membina Pasar Am Pekan Kinarut, Projek Membina Pasar Rakyat 2 Tingkat Pekan Beluran, Projek Membina Tamu Minggu Melalap Tenom, Projek Membina Pasar Masyarakat Majlis Daerah Pitas dan Projek Membina Bangunan Pejabat Lembaga Bandaran Kudat. Melalui pembangunan prasarana-prasarana ini, diharap akan dapat memberikan keselesaan kepada para peniaga dan masyarakat umum di kawasan berkenaan di samping membantu menjana pendapatan PBT melalui kutipan sewaan lot gerai dan lesen-lesen perniagaan.
  4. Pada tahun 2022, Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) akan meneruskan sambungan secara berfasa empat Projek Pembangunan Pekan Baharu iaitu Pekan Baharu Kalabakan, Pekan Baharu Bum-Bum, Pekan Baharu Merotai dan Pekan Baharu Sungai Melayu (Sebatik) yang bakal menjadi bandar sempadan yang menghubungkan Wilayah Malaysia dan Indonesia. Sebanyak RM2 juta peruntukan disediakan bagi merintis perancangan awal Kerajaan Negeri untuk terus memacu dan memboleh daya pertumbuhan ekonomi di pekan-pekan baharu dapat direalisasikan.
  5. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi merancang penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya dan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) yang menghubungkan Tawau, Kalabakan dan Simanggaris, Indonesia.

Pembangunan Luar Bandar

Datuk Speaker,

  1. Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) akan menumpukan kepada programprogram menaik taraf sosio ekonomi, infrastruktur asas dan memperkasa peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Justeru, sebanyak RM210.66 juta diperuntukkan kepada KPLB pada tahun 2022.
  2. KPLB akan terus giat melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan dengan memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar. Selain itu, KPLB juga akan mengenal pasti golongan usahawan untuk dilatih melalui Program Pembangunan Usahawan Desa dan Program Satu Daerah Satu Produk dan penggunaan teknologi terkini supaya golongan ini tidak ketinggalan oleh arus perubahan.
  3. Kemudahan asas di luar bandar akan terus diberikan perhatian. KPLB akan terus melaksanakan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA). Bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan Negeri mengambil Inisiatif untuk menambah jumlah agihan rumah pada tahun hadapan di bawah Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS).

JARINGAN INFRASTRUKTUR DAN KELESTARIAN HIJAU

Pembangunan Infrastruktur dan Utiliti

Datuk Speaker,

  1. Teras ketiga dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau akan terus diperkasa dengan sejumlah RM1.476 bilion peruntukan diagihkan di dalam Belanjawan Tahun 2022.
  2. Secara keseluruhan, Kementerian Kerja Raya Sabah diperuntukkan sejumlah RM1.015 bilion bagi tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diperuntukkan sebanyak RM540.98 juta untuk melaksanakan Projek Pembangunan Bekalan Air Terawat bagi memenuhi keperluan masyarakat secara berperingkat dan terancang.
  3. Sebanyak RM152.95 juta adalah diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Bekalan Air Negeri bagi melaksanakan 12 program utama Penyelesaian Serta-Merta dan Jangka Pendek di seluruh Sabah. Program-program utama di antaranya meliputi Kerja-Kerja Kecemasan Luar Jangka, Program Khas Bekalan Air, Program Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil (NRW), Program Membina serta Menaik taraf Loji dan Muka Sauk serta Menaik taraf Paip Utama dan Tangki Air.
  4. Bagi menangani masalah kritikal bekalan air, Kerja-Kerja Kecemasan Luar Jangka yang sedang dalam pelaksanaan ialah Projek Pemasangan Paip Baharu di daerah Kota Kinabalu dan Keningau serta Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Telibong II yang bertujuan mengurangkan masalah bekalan air yang amat mendesak di kawasan Kota Kinabalu Utara.
  5. Manakala, pelaksanaan NRW melibatkan enam daerah iaitu daerah Ranau, Kota Belud, Semporna, Kudat, Tuaran dan Papar. Program ini adalah di peringkat perolehan dan dijadualkan pelaksanaan kerja fizikal pada tahun hadapan. Bagi Program Menaik taraf Paip Utama, terdapat dua projek sambungan iaitu Projek Penggantian Paip Lama daerah Beaufort dan Projek Pembesaran Paip Agihan daerah Telupid.
  6. Bagi Program Menaik taraf Tangki Air, terdapat dua projek yang disenaraikan iaitu Projek Penggantian Tangki Khidmat Pekan Beaufort dan Loji Rawatan Air Membakut. Bagi Program Membina serta Menaik taraf Loji dan Muka Sauk, terdapat lima projek sambungan di daerah Sandakan dan tiga projek lagi di peringkat reka bentuk konsep di daerah Ranau dan Keningau. Ketiga-tiga projek ini akan dilaksanakan pada tahun 2022.

Datuk Speaker,

  1. Jabatan Kerja Raya diperuntukkan sebanyak RM305.05 juta daripada peruntukan perbekalan dan pembangunan pada tahun 2022 bagi melaksanakan program-program bina baharu dan penyenggaraan, baik pulih dan naik taraf jalan raya, cerun, jambatan, bangunan serta lain-lain aset Kerajaan Negeri termasuk sewaan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain.
  2. Jabatan Keretapi Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM80.88 Juta termasuk untuk menaik taraf dan menambah baik sistem keretapi serta membangunkan semula landasan keretapi untuk kemudahan rakyat. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan pula akan diperuntukkan sebanyak RM71.1 juta termasuk untuk meningkatkan perkhidmatan pembetungan bagi menjamin kesejahteraan dan kebersihan persekitaran.
  3. Seterusnya, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah diperuntukkan sebanyak RM20.86 juta. Peruntukan ini akan digunakan bagi membiayai pengurusan dan projek-projek pembangunan yang dirancang dan untuk membangunkan kemudahan pelabuhan dan menyediakan perkhidmatan kawalan serta penjagaan keselamatan lalu lintas air.
  4. Di samping itu, sebanyak RM454.71 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kewangan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, KKTP dan JPS bagi pengurusan dan penyenggaraan kemudahan-kemudahan awam.

Kelestarian Hijau

Datuk Speaker,

  1. Mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM12.35 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dan RM16.56 juta di bawah perbelanjaan pembangunan. Beberapa pelan pengurusan akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuk Pelan Tindakan Hidupan Liar Terancam Sabah, Pelan Pengurusan Pesisir Pantai Sabah, Pelan Pengurusan Pulau Mabul, Pulau Pom-Pom dan pulau-pulau sekitarnya.
  2. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap komponen dalam mewujudkan kelestarian hijau akan dapat diberikan perhatian yang sewajarnya. Sukacita juga dimaklumkan bahawa Negeri Sabah telah diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara Kongres Taman-Taman Asia kedua (Ke-2) yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada bulan Mei 2022. Kongres ini akan dianjurkan bersama dengan International Union for the Conservation of Nature (IUCN).
  3. Di samping itu, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah telah membangunkan aplikasi “Polis Alam Sekitar” yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu pencemaran alam sekitar marin yang berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah 2009.
  4. Agenda kelestarian hijau juga berkait secara langsung dengan industri pelancongan. Kepelbagaian dan keunikan flora dan fauna di negeri ini terus menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Justeru, sebanyak RM9 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan kepada Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar untuk melindungi spesies flora dan fauna. Di samping itu, sebanyak RM115.73 juta juga diperuntukkan kepada jabatan dan agensi lain yang turut menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan berasaskan alam semulajadi seperti Jabatan Perhutanan dan

Unit Biodiversiti Sabah. Agenda kelestarian hijau amat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan isu alam sekitar dan fenomena pemanasan global, malah menjadi aset untuk pembangunan ekonomi dan peningkatan pendapatan negeri.

BADAN-BADAN BERKANUN DAN AGENSI AWAM NEGERI

Datuk Speaker,

  1. Kerajaan Negeri memandang serius terhadap kedudukan Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri sebagai jentera membantu Kerajaan dalam meningkatkan hasil negeri dan memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Atas kesedaran itu, Kementerian Kewangan sedang melaksanakan kajian semula ke atas semua Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri. Ini melibatkan penstrukturan semula aktiviti operasi bersesuaian dengan objektif penubuhan bagi memastikan semua pelaburan Kerajaan Negeri mencapai matlamat dan mendapat pulangan yang lebih baik.
  2. Antara matlamat utama pendekatan ini adalah untuk memastikan pembayaran dividen dan bayaran balik faedah dan pinjaman adalah mengikut jadual dan meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu, Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri digesa untuk berusaha bagi memastikan tanggungjawab pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri dapat ditingkatkan dan dilaksanakan. Sehubungan itu, tindakan drastik akan diambil termasuklah menghentikan kegiatan ekonomi, pelaburan, program atau projek yang tidak menghasilkan pendapatan tetapi menjadi beban kepada organisasi dan Kerajaan Negeri.
  3. Bagi merealisasikan pendekatan tersebut, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat (JPPTUK) telah disusun semula bertujuan untuk memantau dan mengawasi pelaksanaan Kod Tadbir Urus Korporat terhadap Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Awam Negeri termasuk prestasi Lembaga Pengarah.
  4. Peranan Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri amat signifikan kerana prestasi yang dicapai akan memberi impak terhadap kemajuan sosio ekonomi dan sumbangan hasil kepada Kerajaan Negeri. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menerima sejumlah RM111.1 juta dividen dan dijangka akan meningkat lagi di penghujung tahun ini.
  5. Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri mengucapkan syabas kepada Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri yang telah merekodkan keuntungan dan membayar dividen kepada Kerajaan iaitu Sabah Development Berhad, Perbadanan Pinjaman Sabah, Qhazanah Sabah Berhad, Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Sawit Kinabalu Berhad, Progressive Insurance Berhad, Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Tongod Plantation Sdn. Bhd., Saham Sabah Berhad, Tabin Wildlife Holidays Sdn. Bhd. dan Desa Plus Sdn. Bhd. serta sumbangan daripada Korporasi Pembangunan Desa.
  6. Terima kasih juga kepada Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri yang telah membayar balik pinjaman tahunan kepada Kerajaan Negeri yang setakat November 2021 berjumlah RM13.6 juta. Organisasi terlibat adalah Kota Kinabalu Industrial Park, Majlis Ugama Islam Sabah, Yayasan Usaha Maju, Perbadanan Baitulmal, Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd., Sabah Air Aviation Sdn. Bhd., Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN).

PENJAWAT AWAM

Datuk Speaker,

  1. Perkhidmatan Awam merupakan nadi Kerajaan Negeri. Kerajaan perlu memastikan perkhidmatan awam berfungsi pada tahap kecekapan yang tinggi pada setiap masa dan mampu menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
  2. Pelbagai program telah dirancang untuk menambah baik sistem penyampaian sejajar dengan keperluan norma baharu. Penggunaan ruang digital perlu dimaksimakan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan tugas harian. Untuk itu, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM56.44 juta bagi menaik taraf kemudahan digital untuk kegunaan penjawat awam.
  3. Manakala, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Goverment) dan Program Pembangunan ICT. Sementara itu, dalam tempoh tahun 2022 hingga 2025, Kerajaan Negeri melalui Sabah Net akan terus menaik taraf talian internet ke semua pejabat Kerajaan kepada rangkaian fiber optik berkelajuan 30Mbps hingga 100Mbps.
  4. Bagi tujuan peningkatan kualiti, ilmu pengetahuan dan perkembangan kerjaya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.35 juta untuk menaja penjawat awam melanjutkan pelajaran di dalam bidang Sarjana dan Kedoktoran di university dalam dan luar negara yang terpilih.

Datuk Speaker,

  1. Penjawat awam juga tidak terkecuali daripada terkesan oleh pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat untuk terus berkhidmat kepada Kerajaan bagi memastikan jentera pentadbiran berjalan dengan lancar. Oleh itu, bagi mengiktiraf jasa dan peranan para penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000.00 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang akan dibayar pada bulan Januari 2022. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam negeri. Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

KERJASAMA NEGERI DAN PERSEKUTUAN

Datuk Speaker,

  1. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pemberian bantuan khas sebanyak RM700.00 kepada para penjawat awam persekutuan termasuk yang berkhidmat di Sabah. Peranan Kerajaan Persekutuan yang digerakkan oleh para penjawat awam persekutuan mempunyai nilai dan makna yang besar kepada pembangunan negeri.
  2. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen dan bantuan berterusan Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan negeri. Dalam pembentangan Belanjawan 2022, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan sejumlah RM5.2 bilion perbelanjaan pembangunan bagi Sabah. Ia meliputi pembiayaan peruntukan bagi kemudahan asas, infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta penjagaan kesihatan. Saya menyeru agar jabatan-jabatan Persekutuan dan Negeri dapat mempermudahkan proses kelulusan bagi memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.
  3. Sungguhpun jumlah tersebut adalah satu peningkatan daripada belanjawan sebelumnya, namun kadar peruntukan pembangunan tersebut jauh daripada mencukupi untuk

menampung keperluan utama di negeri ini. Kita memahami kedudukan kewangan semasa khususnya keutamaan bagi keperluan mendesak bagi peruntukan pemulihan ekonomi termasuk pelbagai bentuk bantuan berorientasikan rakyat yang akan turut dimanfaati oleh rakyat di negeri ini.

  1. Selain bersandarkan kepada peruntukan tahunan negeri dan persekutuan, Kerajaan Negeri melihat keperluan meletakkan fokus kepada pelaburan asing dan domestik sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negeri. Usaha menarik pelaburan memerlukan strategi dan pendekatan khusus, antaranya mewujudkan persekitaran yang kondusif sama ada dalam bentuk polisi dan insentif kerajaan, serta kewujudan infrastruktur asas yang ekonomikal bagi pelabur.
  2. Atas sebab itu, sebagai strategi jangka panjang menangani kebergantungan pembangunan ekonomi negeri kepada belanjawan dana awam, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu-isu legasi berhubung pembangunan infrastruktur di Sabah yang akan menjadi faktor pertimbangan para pelabur. Sehubungan itu, pendekatan khusus perlu digerakkan bagi memastikan projek berimpak tinggi perlu dilaksanakan dan disiapkan segera seperti Lebuhraya Pan Borneo dan penyediaan sumber tenaga serta rangkaian grid lengkap yang memenuhi tuntutan semasa bukan sahaja bagi keperluan industri malah keperluan harian rakyat di Sabah.

Datuk Speaker,

  1. Kerajaan Negeri berkeyakinan tinggi Kerajaan Persekutuan memahami keperluan dan tuntutan pembangunan negeri dan rakyat di Sabah. Kita akan sentiasa meneruskan perundingan konstruktif melalui pelbagai platform di semua peringkat. Kita bersyukur kerana bukan sahaja RMKe-12 meletakkan komitmen untuk melonjakkan pembangunan Sabah sebagai salah satu daripada sembilan fokus utama, buat kali pertama dalam sebuah dokumen Rancangan Malaysia, jaminan dan komitmen dasar digariskan untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
  2. Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan siri perundingan melalui Majlis Khas MA63. Pelbagai status kemajuan telah berjaya dicapai dan kita akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan hak dan kepentingan negeri dapat ditunaikan.
  3. Sukacita saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa rundingan di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial atau Commercial Collaboration Agreement (CCA) telah berjaya dimuktamadkan. Persefahaman dan persetujuan telah dicapai di antara kedua belah pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.

Setelah sekian lama isu legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) mendasari isu berkaitan minyak dan gas kita, Insya Allah, perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah. Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar (greater revenue sharing), penyertaan dan penguasaan yang lebih besar (greater participation and greater say) dalam hal  berkaitan minyak dan gas.

  1. Sementara itu, Kerajaan Negeri dan PETRONAS telah membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk PETRONAS membina kemudahan gas asli cecair (LNG) yang berdasarkan konsep “nearshore” yang pertama di negeri ini iaitu di SOGIP. Di samping itu, Sabah juga akan mempunyai peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini.

Datuk Speaker,

  1. Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.
  2. Perjuangan ini adalah satu perjalanan panjang yang kita warisi daripada barisan pelopor pejuang terdahulu. Sekalipun mengambil masa, kita harus memastikan setiap langkah yang teratur rapi akan membawa nilai dan makna kemajuan. Jangan terbelenggu dengan retorika politik berpanjangan yang tidak membawa kita ke mana- mana. Jangan biarkan romantika sejarah semata-mata akhirnya membawa kita berundur jauh ke belakang. Jangan sesekali lupa di kala kita menuding jari telunjuk mencari silap orang lain, hakikatnya empat jari yang lain menuding tepat ke arah sendiri.
  3. Kita sentiasa mengalu-alukan dan menghargai kebersamaan semua pihak termasuk barisan pembangkang dalam agenda perjuangan ini. Hakikatnya, sebahagian besar daripada kita yang berada di Dewan yang mulia ini, termasuk yang di posisi pembangkang, pernah duduk sebagai Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, juga ada yang pernah menjadi Menteri dan Ketua Menteri. Biar kita jujur dengan setiap kata-kata. Biar kita ikhlas dalam setiap tindakan. Biar sejarah menilai dan rakyat menjadi penentu.

PENUTUP

Datuk Speaker,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan belanjawan ini, suka saya mengulangi beberapa perkara utama. Pertama, buat pertama kali dalam sejarah, hasil negeri tertinggi bakal dicatatkan bagi tahun 2021. Saya ingin menyeru semua jabatan pemungut hasil untuk menggalas dan melipatgandakan lagi usaha agar sasaran kutipan hasil RM4.912 bilion bukan sahaja dapat dicapai, bahkan dapat menembusi paras RM5 bilion, Insya Allah.
  2. Kedua, sebagaimana tema belanjawan ini, pemulihan ekonomi adalah kunci kepada kesejahteraan rakyat. Maka, semua pihak perlu memastikan semua program dan projek yang terkandung dalam Belanjawan Negeri dan Belanjawan Persekutuan 2022 dilaksanakan dengan segera untuk merangsang ekonomi. Manakala, semua agensi Kerajaan berkaitan perlu menganjak paradigma dan melaksanakan pendekatan yang lebih mesra pelabur. Demi perubahan yang lebih bermakna untuk membina Sabah yang lebih maju dan berjaya, kita memerlukan penglibatan segera para pelabur untuk merancakkan dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi.
  3. Ketiga, peranan yang dimiliki oleh Kerajaan hari ini adalah bersandarkan kepada mandat rakyat. Di kala pembentangan belanjawan setiap tahun, kita berbicara tentang nilai melibatkan ribuan juta ringgit. Adalah menjadi peranan semua pihak, anggota pentadbiran dan penjawat awam, untuk memastikan bukan sahaja jumlah besar ini dibelanjakan dengan penuh hemah, malah nilai dan maknanya tidak hanya dapat didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat di akar umbi. Hasil negeri adalah amanah rakyat yang dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan.

Datuk Speaker,

  1. Negeri ini adalah milik semua, setiap anak Sabah. Masa depan tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab semua. Negeri ini tidak akan maju dalam erti kata sebenar sekiranya masih ada warganya yang terpinggir. Saya mengajak semua anak Sabah untuk bersama-sama membangunkan negeri, sederap selangkah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

 

Makan mangga cicah berlada

Bersila santai tepian paya,

Pemimpin dan rakyat berpisah tiada,

Membawa Sabah ke puncak jaya.

Pesona Kinabalu seindah nama,

Gunung Tertinggi di Asia Tenggara,

Sabah Maju Jaya impian bersama,

Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera.

Datuk Speaker,

  1. Cabaran di hadapan kita adalah membawa anak-anak Sabah untuk bangkit memulihkan ekonomi yang terkesan akibat virus COVID-19. Mari kita bersama, bekerja sehabis baik, sepenuh jiwa dan raga demi masa depan Sabah yang lebih maju dan berjaya. Rintangan di hadapan kita masih belum berakhir, kita masih hidup dilingkari pandemik, kita mesti bersedia hidup bersama COVID-19, kita harus terima norma baharu, Bersama kita patuhi SOP. Kita Jaga Kita, Kita Tetap Menang.
  2. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Krismas kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, penjawat awam dan warga Sabah yang beragama Kristian dan selamat menyambut Tahun Baharu 2022 kepada semua.-bnn/Ucapan Belanjawan Negeri Tahun 2022 Oleh Y.A.B. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor Ketua Menteri Merangkap Menteri Kewangan Sabah Di Persidangan Dewan Undangan Negeri Pada 03 Disember 2021 (Jumaat) Bersamaan 28 Rabiulakhir 1443h