KOTA KINABALU; Pemansuhan atau pindaan semua undang-undang yang mengubah tujuan asal pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kemungkinan ‘Ultra Vires’, diluar kuasa atau bercanggah terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan selaras dengan pindaan Perkara 1(2) yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan, berkata pelaksanaan dan penguatkuasaan semula segera peruntukan undang-undang dan hak-hak istimewa yang dapat mengembalikan semula apa yang hilang dan dinafikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh 58 tahun lalu perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sememangnya satu langkah yang betul dan perlu kerana ia menjadi pemangkin untuk mengembali dan memperkasakan kedudukan sebenar autonomi Sabah serta Sarawak seperti yang dinyatakan dalam MA63.
Bagaimanapun, katanya walaupun isu yang lama tertangguh itu akhirnya diselesaikan atas kertas, ia masih menimbulkan persoalan mengenai berapa lama lagi rakyat Sabah dan Sarawak harus menunggu untuk hak-hak istimewa mereka dapat dikembalikan ke status asal.
Tekannya, ia adalah perkara yang mendesak memandangkan tanpa jangka masa yang ditetapkan, Sabah akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi dan terus miskin walaupun kaya dengan sumber asli.
“Perlu ditekankan bahawa sejak 58 tahun yang lalu, Sabah dinafi dan dilucutkan hak dan keistimewaannya di bawah MA63 sama ada melalui pemansuhan undang-undang, penggubalan undang-undang baharu atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Adalah dijangkakan bahawa banyak kerja yang perlu dilakukan dan juga banyak perkara yang harus diselesaikan untuk melaksana dan menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan undang-undang dan hak-hak keistimewaan dalam MA63 dan pematuhan masa adalah sangat penting.
“Sehubungan itu, kami memohon pemansuhan atau pindaan semua undang-undang yang telah mengubah tujuan asal pemeteraian MA63 dan kemungkinan besarnya ‘Ultra Vires’ atau diluar kuasa atau bercanggah terhadap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
“Apa yang lebih penting, kami memohon pelaksanaan dan penguatkuasaan semula segera peruntukan undang-undang dan hak-hak keistimewaan yang dapat mengembalikan semula apa yang telah hilang dan dinafikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh 58 tahun yang lalu,” katanya ketika membahaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Negara, hari ini.
Bobbey menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan yang ada pada hari ini sudah luhur dengan mengaplikasikan tuntutan awal ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Atas sebab itulah, katanya ada yang menyebut MA63 sebagai perjanjian done deal atau selesai urusan, namun berdasarkan status quo atau keadaan semasa dan keperluan tuntutan baharu di antara wilayah, satu rundingan baharu atau new deal atau perjanjian baharu perlu dibuat.
“Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) ini perlu disokong dan terus diluluskan kerana banyak lagi tugas-tugas di hadapan kita untuk melihat kesesuaian dan keserasian akta-akta yang lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu disempurnakan secara legislatif tanpa melalui proses perkelahian panjang seperti yang kita lalui pada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya berterima kasih dan menghargai usaha kerajaan persekutuan untuk memulakan usaha merealisasikan matlamat MA63 melalui RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya isu Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) yang bukan sahaja memperakui secara literal isi kandungan MA63 tetapi ibarat merawat luka yang telah lama terpendam.
“Begitu juga dengan pengiktirafan Hari Malaysia yang telah sekian lama dikaburi tanpa mendapat sebarang pengabsahan undang-undang diperingkat Persekutuan.
“Setidaknya, mungkin selepas ini tidak hanya Sabah dan Sarawak sahaja yang meraikan hari bersejarah itu. Benar, Sabah merdeka 31 Ogos, benar Tanah Melayu merdeka 31 Ogos dan benar Sarawak merdeka 22 Julai tetapi tanpa 16 September kita tidak akan kenal negara yang bernama Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Bobbey berkata bertepatan dengan pindaan yang dicadangkan berkaitan pemerkasaan masyarakat anak negeri di Sarawak, beliau turut menyokong usaha itu bagi memperkasa pembangunan masyarakat yang majoritinya berada dalam keadaan ekonomi rentan, sama seperti berlaku di Sabah.
“Kami di Sabah dan Sarawak tidak pernah berkecil hati dengan 58 tahun yang telah kita lalui bersama. Namun, saya percaya berita baik ini harus kita realisasikan segera.”
Kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan wilayah kita yang telah sekian lama merasa terpinggir. Ingat, ada luka lama yang harus segera dirawat untuk Malaysia yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya.-pr/BNN