KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan dengan segera.

“Kita akan hantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi. Apa yang penting keadaan di sana terkawal,” katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan itu sebagai menjawab permintaan negeri yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir monsun Timur

Laut yang diadakan secara maya pada pagi ini. Hajiji sebelum ini memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat khas itu sambil menyatakan bahawa setakat pagi Isnin, enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan
Telupid telah terjejas akibat banjir.

“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas bagi menampung 874 keluarga yang membabitkan 2,435 orang mangsa banjir,” katanya.

Hajiji berkata semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Setakat ini, katanya Sabah telah menerima sebanyak RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga yang terjejas. Kerajaan Persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.

“Jadi, ia adalah baik Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah,” katanya.

Hajiji memberitahu Perdana Menteri bahawa Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan kerosakkan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas. Ketua Menteri akan melawat ke daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan untuk meninjau keadaan banjir dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir pada Rabu ini.

Turut hadir di mesyuarat tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Pengarah Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Hj Ag Shahminan Datuk Hj Ag Sahari.-pr/BNN