KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri meluluskan
sejumlah RM1.73 juta kepada Majlis Belia Sabah (MBS) untuk mengadakan program
pemerkasaan belia dan kempen kesedaran penyalahgunaan dadah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ini selaras dengan
objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu pembangunan modal insan dan
golongan belia merupakan aset penting bagi negeri ini.
Mempengerusikan mesyuarat pertama MTMD tahun ini, Hajiji turut berharap semua
program itu akan diselaraskan dengan Kementerian Belia dan Sukan negeri serta
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Pada mesyuarat itu, sejumlah RM464,000 turut diluluskan untuk AADK Sabah
menjalankan kempen kesedaran awam melalui pengiklanan papan iklan di 32 lokaliti di
seluruh negeri.
AADK memaklumkan kepada MTMD bahawa isu tapak cadangan Pusat Pemulihan
Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu di pantai timur telah selesai. Tapak yang dikenal
pasti adalah di Batu 36, Balung di Tawau.
Terdahulu, Hajiji berkata Likas diisytiharkan sebagai kawasan hijau pada 2021 berikutan
arahan MTMD agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan proaktif
membebaskannya daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan Likas kekal hijau.
Tahun lalu MTMD Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri telah mengenal pasti
12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan bahan di Sabah dan telah memutuskan
perhatian perlu diberikan kepada Likas, Luagan di Keningau serta Labuan (Zon Satu).
“Pada tahun ini, kita akan terus menumpukan usaha kepada Luagan, di Keningau dan
Labuan,” katanya.
Hajiji mengulangi bahawa Pegawai Daerah yang dilantik sebagai penyelaras kawasan
berisiko tinggi di peringkat daerah perlu memastikan kawasan terbabit dihijaukan.
“Sebagai pengerusi MTMD daerah, pegawai daerah perlu mengambil tindakan membanteras dadah yang mengancam kawasan masing-masing,” katanya.
Mengenai lapan kawasan lain, Hajiji berkata perhatian juga akan diberikan untuk memastikan isu penagihan dadah dan gejala sosial dapat dikawal.
Ketua Menteri berkata MTMD adalah platform penting untuk membincangkan isu berkaitan penyalahgunaan dadah dan langkah penyelesaian.
“Dadah kekal sebagai ancaman nombor satu negara. Kami akan terus menumpukan usaha untuk membanteras gejala sosial ini,” katanya.
Mesyuarat hari ini membincangkan dua cadangan iaitu memperkasa publisiti kesedaran awam oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Sabah serta Negeri serta memperkasakan potensi belia oleh Majlis Belia Sabah.
AADK negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah turut memberi taklimat dalam mesyuarat itu mengenai status program pembasmian dadah bersepadu dan
senario dadah di Sabah.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Haji Abu; Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Shapii Ahmad; Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Sabah, Nani Sikin.-pr/BNN