RANAU: Wanita di negeri ini khususnya golongan ibu dan suri rumah perlu sentiasa
mengambil peluang untuk menyertai program baharu yang boleh menambah pengetahuan serta kemahiran mereka.

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal
Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (MUTIARA GRS-BN), Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, berkata dalam era teknologi ini wanita perlu mempelajari sebanyak mungkin ilmu yang boleh dijadikan panduan bagi membentuk institusi keluarga yang sejahtera dan bahagia.

“Selain itu, golongan wanita juga perlu ada kemahiran dalam penggunaan teknologi dan internet memandangkan hari ini kita selalu terbaca kegiatan penggodam dan scammer semakin berleluasa dengan menjadikan wanita termasuk suri rumah sebagai mangsa penipuan.

“Oleh itu, golongan wanita baik yang bekerja atau suri rumah perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan banyakkan membaca agar tidak mudah menjadi mangsa penipuan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Keluarga Malaysia Peka @LPPKN Gabungan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, DUN Karanaan dan DUN Paginatan sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Masyarakat Ranau, di sini pada Rabu.

Program Jerayawara ini adalah siri penjelajahan ketiga setelah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Pintasan pada bulan Mac yang lalu. Program ini akan menjelajah ke seluruh negeri mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipilih bagi memberi manfaat kepada rakyat negeri Sabah dalam pembangunan dan pengukuhan institusi kekeluargaan.

Dalam pada itu, Juliah turut merakamkan tahniah kepada Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah kerana program ini merupakan kerjasama dengan MUTIARA GRS-BN.
“Program pada hari ini sedikit berbeza dan istimewa kerana ia diadakan sempena meraikan Sambutan Hari Ibu pada tahun ini sekali gus memberikan penghargaan kepada pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu.

“Pelbagai perkhidmatan diadakan sempena majlis ini antaranya Program Perkhidmatan Keluarga Bergerak (PKB) LPPKN yang menyediakan khidmat nasihat klinikal, saringan pemeriksaan kesihatan, HPV DNA dan pendaftaran mamogram secara percuma kepada wanita yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya sambil menambah gerai jualan dan pameran yang disertai oleh golongan wanita daripada tiga kawasan DUN itu turut diadakan.-pr/BNN