LONDON: Seramai 50 orang pelajar Sabah dan Sarawak telah menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya melalui agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertempat di Malaysia Hall, London.

Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya berkata majlis ini merupakan kesempatan yang terbaik untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan dan kekitaan serta
mewujudkan perasaan kasih sayang dan muhibah sebagai sebuah Keluarga Malaysia
walaupun berada di luar negara.

“Kerajaan dibawah pimpinan YAB Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia
amat memberi penekanan kepada Sabah dan Sarawak. Ini dapat dilihat apabila Kerajaan
telah membuat pindaan kepada Perlembagaan Negara dengan meletakkan Sabah dan
Sarawak setaraf dengan Semenanjung”

“Selain itu, komitmen Kerajaan untuk menyiapkan baki 19 pakej Projek Lebuh Raya Pan
Borneo Sabah dalam tempoh lima tahun jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat
memberi penekanan kepada aspek pembangunan infrastruktur bagi merapatkan jurang
perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung”.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak sepanjang lebih dari 1500 kilometer
akan melengkapkan jajaran perhubungan yang baik dan efisyen. Ini selari dengan
pembangunan yang pesat susulan pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan”.

Mengulas berkenaan kerjasama CIDB Malaysia bersama CIOB UK, Arthur berkata misi lawatan kerja ke United Kingdom adalah bagi meninjau jalinan kerjasama kompetensi,
persijilan dan pengiktirafan professional pembinaan melalui pemeteraian Memorandum
Persefahaman antara CIDB Malaysia dan Chartered Institute of Building (CIOB) United
Kingdom.

Tambahnya lagi, persefahaman ini penting bagi membolehkan para pelajar yang bakal
bergelar professional pembinaan negara seperti jurutera, arkitek dan juru ukur bahan
bukan sahaja kompetensi yang tinggi malah turut diiktiraf di luar negara.

Justeru beliau turut mengajak Profesional Muda Malaysia yang berada di luar negara
untuk pulang dan turut sama menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di
Sabah dan Sarawak amat memerlukan kepakaran anak tempatan kerana mereka faham
dengan kehendak serta keperluan setempat.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah YB Ir. Haji Yusof bin Haji Abd Wahab
Pengerusi CIDB, YBhg Datuk Ir. Ahmad Asri bin Abdul Hamid Ketua Pegawai Eksekutif
CIDB, dan Prof Madya Dr Shafie bin Mohamed Zabri Pengarah Pendidikan Malaysia
London.-pr/BNN