KUDAT: Para pemimpin kerajaan dan pentadbir sekolah terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, diharap dapat mempertingkatkan lagi kerjasama bagi membantu memperkasa inspirasi meningkatkan pencapaian akademik anak-anak di kawasan ini.
Harapan ini diluahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki yang berkata, ini juga merupakan teras pertama perjuangan beliau selaku wakil rakyat di kawasan ini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata demikian pada Program Professional Learning Community (PLC) SMK/KV Zon Matunggong dihoskannya yang bertempat Marudu Hall, Kudat Golf & Marina Resort, di sini baru-baru ini.
Julita juga menyatakan rasa bangga dan bersyukur serta berterima kasih kepada para pentadbir sekolah, yang juga sebagai cikgu kepada anak-anak Matunggong kerana begitu komited dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Saya sangat menghormati cikgu dan golongan ini patut dihormati kerana tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini,” katanya, sambil berharap, pertemuan seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan mereka semua dapat terus bekerjasama dalam hal yang berkaitan dengan bidang pendidikan.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa gembira atas pencapaian kesemua empat buah sekolah menengah di Matunggong yang mengekalkan pencapaian baik di kalangan pelajar SPM.
“Pada tahun 2021, bilangan pelajar cemerlang yang mencapai sekurang-kurangnya 5A dan ke atas adalah seramai 61 orang pelajar. SMK Matunggong kekal menduduki kedudukan antara sekolah terbaik luar bandar di negeri Sabah,” ujarnya, sambil mengucapkan tahniah kepada para guru, pelajar dan ibu bapa atas komitmen mereka.
Antara yang turut serta dalam program ini ialah Abdul Gani Haiyun, Pengetua SMK Pinawantai; Hajah Faridah Kamaruddin, Pengetua SMK Sikuati; Haji Narawi Diasim, Pengetua SMK Sikuati 2 dan Christine Stanislaus Kinsik, Pengarah Kolej Vokasional. Mereka turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai pencapaian sekolah serta pelajar masing-masing dan sedikit isu berkaitan cabaran dan masalah yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kerajaan.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius Masain; Ketua Daerah Matunggong OKK Somuil Mojiun; Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Matunggong, Epson Kawahui dan beberapa orang lagi Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong. -pr/BNN