TUARAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan 158 ekor lembu korban sempena Aidiladha yang akan disambut pada Ahad ini kepada 51 wakil masjid
dan surau di sekitar Tuaran.

Ketua Menteri turut menyampaikan lembu korban kepada wakil pasukan keselamatan
di negeri ini iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan; Kem Lok Kawi;
Akademi Bomba dan Penyelamat Tuaran; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),
Sepanggar; Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah dan Balai Polis
Tuaran.

Majlis penyerahan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha itu diadakan di
pekarangan Masjid Haji Noor di Kampung Serusup dekat sini, pada Jumaat.
Bercakap kepada media, Hajiji berkata lebih 150 lembu korban itu akan diserahkan
kepada beberapa pasukan dan kampung di daerah Tuaran selain kepada pasukan serta
agensi keselamatan di negeri ini seperti di IPK dan TLDM, sempena sambutan Aidiladha
pada tahun ini.

“Selebihnya (lembu) itu akan diagihkan kepada masjid dan surau di daerah Tuaran
termasuk di kawasan saya sendiri di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sulaman.
“Ibadah korban ini mempunyai sejarah dan signifikan kepada penganut agama Islam
untuk kita berkorban dan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha
kepada semua umat Islam di negeri ini khususnya di Tuaran dan DUN Sulaman.

“Saya berharap sambutan Aidladha ini kita rayakan secara sederhana tapi yang penting
kita dapat menghayati nilai-nilai hari raya korban yang dtuntut oleh kita sebagai umat
Islam,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir.-pr/BNN