KOTA KINABALU: Program ‘Back To Nature’ mampu membantu golongan sasar seperti
suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) mempelajari kemahiran baharu
yang mampu membantu mereka menjana pendapatan, terutama selepas pandemik
COVID-19 ini.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, berkata menerusi program
ini, mereka akan dibekalkan dengan latihan kemahiran seni ‘Natural Dye’ dan ‘Eco
Printing’ serta latihan keusahawanan supaya dapat menghasilkan produk seterusnya
sebagai sumber pendapatan.
“Saya mengucapkan syabas kepada Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia
atau PSJKM Sabah dan Sarawak, Thien Tsui Yan dan juga pasukannya yang memberi
peluang kepada wanita di Sabah terutama golongan sasar seperti suri rumah, ibu
tunggal, dan OKU untuk mempelajari kemahiran baharu yang mampu membantu
mereka menjana pendapatan.
“Program ‘Back To Nature’ menyasarkan untuk melahirkan seramai 500 usahawan yang
akan dberikan latihan kemahiran seni Natural Dye dan Eco Printing serta latihan
keusahawanan supaya mereka dapat menghasilkan produk dan memasarkannya
sendiri kepada pelanggan.
“Program ini juga akan mendekatkan diri kita dengan alam sekitar dan merupakan satu
idea yang baik bagi mendidik masyarakat untuk bersahabat dengan alam, memastikan
keindahannya masih dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya ketika
merasmikan Program Back To Nature di Suria Sabah Shopping Mall di sini, pada
Jumaat.
Program anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) itu bertemakan
`Vaksinasi Cegah COVID-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’.
Dalam pada itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri
Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata selain 500 golongan
sasar yang menyertai program Back To Nature, seramai 1,043 lagi yang telah memohon
untuk mengikuti kursus anjuran PSJKM dan kini berada dalam senarai menunggu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata negara yang kini berada dalam fasa
endemik, bukanlah alasan untuk rakyat tidak produktif.
Katanya, walaupun rakyat harus terus berwaspada dan mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk
mencegah penularan COVID-19, namun ia bukan penghadang untuk rakyat terus
menimba ilmu demi mencari rezeki dan meningkatkan punca mata pencarian.
“Penjualan produk Natural Dye dan Eco Printing, produk yang mesra alam ini juga sudah
mula dipraktikkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran
antarabangsa,” katanya,
Juliah berkata, PSJKM sendiri mempunyai platform perniagaan dalam talian iaitu The
Tunku Azizah Handmade Market Online yang kini mempunyai seramai 213 orang
perintis yang berjaya menjana pendapatan melaluinya.-pr/BNN