TUARAN: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) memperkenalkan Program
“Homeward” bagi memastikan penyertaan komuniti dalam penjagaan kebajikan ahli
keluarga masing-masing terutama golongan warga emas, kata Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag.
Katanya, Program Homeward turut membekalkan peralatan untuk kegunaan pesakit
terlantar di rumah mengikut keperluan seperti ‘High Low Bed’, ‘Ripple Mattress’, Kerusi
Roda dan ‘Oxygen Concentrater’.
Selain itu katanya, lawatan berkala oleh Jururawat, Jurupulih Anggota, Jurupulih Cara
Kerja dan Pegawai Kebajikan Daerah juga akan dilakukan untuk memantau dan
membantu pesakit mengikut keperluan. “Program Homeward merupakan satu bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan
oleh JPKA, berteraskan perkhidmatan komuniti agar masyarakat terlibat secara
langsung dalam pengurusan dan penjagaan warga emas terutama bagi yang sakit dan
memerlukan perhatian khusus”.
“Program ini dapat memupuk rasa tanggungjawab, melahirkan perasaan kasih sayang
dan ikatan kekeluargaan yang kuat sesama ahli keluarga”, katanya ketika merasmikan
penutupan Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program TABAH Daerah Tuaran
di Dewan Seri Sulaman, hari ini. Program TABAH iaitu “Tegas, Amanah, Berani, Adil dan Harmoni” dan Program Kempen Sayangi Keluarga adalah anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran.
Juliah berkata, pembangunan pesat negara kita telah memberi kesan langsung
terhadap peningkatan tahap kesejahteraan rakyat sehingga tanpa kita sedari masih
terdapat segelintir golongan warga emas yang terabai, hidup sebagai gelandangan,
tinggal bersendirian, daif, terlantar di hospital tanpa waris dan mengidap penyakit
kronik tanpa penjagaan yang sempurna
“Kita yang peka dan prihatin berpendapat bahawa warga tua atau ibu bapa yang uzur,
jika tidak mendapat penjagaan oleh ahli keluarga, akan menjadi isu besar masyarakat. Justeru demi membalas pengorbanan ibu bapa, tanggungjawab ahli keluarga terutama
anak-anak adalah kewajipan dan komitmen sepanjang hayat”, tegasnya.
Menurutnya, berdasarkan rekod banci penduduk Malaysia pada tahun 2020, jumlah
penduduk negara ini yang berusia 60 tahun ke atas adalah sebanyak 3.4 juta atau
10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Angka itu akan mencecah 15 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang. Menyentuh masalah penagihan dadah di kalangan masyarakat, beliau berkata ia telah menular dengan pelbagai kecanggihan dan golongan penagih dadah bukan sahaja dari kalangan anak muda malah golongan ’senja’.
Juliah berkata, berdasarkan laporan media massa, banyak kes jenayah ringan dan
berat yang berlaku dikaitkan dengan kegiatan penagih dadah.
“Kesan dan pengarah najis dadah telah mengakibatkan beberapa insiden yang
menyayat hati. Mangsa dilaporkan hilang pertimbangan sebagai makhluk yang
berakal, sehingga sanggup membunuh ahli keluarga, anak membunuh ibu, bapa
membunuh anak dan lain-lain”.
“Dalam zaman yang semakin canggih ini, kaedah untuk mendapatkan bekalan dadah
juga amat mudah seperti melalui SMS atau perkhidmatan kurior. Selain itu, para
pengedar dadah juga mengambil kesempatan menggunakan ”keldai dadah” untuk
mengaut keuntungan, termasuk memperalat wanita dalam operasi pengedaran dadah”,
tambahnya.
Menyentuh Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program Tabah, Juliah berkata
program dua dalam satu itu khusus untuk memberi kesedaran kepada komuniti
setempat tentang bahaya penyalahgunaan najis dadah dan pendidikan teknik dan
kemahiran penjagaan warga emas.
“Saya percaya ilmu pengetahuan yang diperolehi dapat memberi kesedaran kepada
para peserta dan apa yang dipelajari dapat dikongsikan bersama kaum keluarga dan
jiran tetangga yang tidak berpeluang menghadiri program ini”, tegasnya. -pr/BNN