KOTA KINABALU: Penganjuran Festival Puisi Esei Peringkat Antarabangsa (PEA) 2022
mampu memperkukuhkan lagi perkembangan bahasa, sastera dan budaya di Sabah,
kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dalam masa sama katanya, PEA 2022 ini juga mampu membina rangkaian hubunganyang baik dengan penulis, ilmuan dan budayawan dari negara luar termasuk tokoh-
tokoh budayawan dari negara ini.

“Program ini juga mampu memperkukuhkan perkembangan bahasa, sastera dan
budaya, sebagai wadah untuk mendidik manusia. Sastera mengajar manusia untuk
bersopan santun dan beradab sekali gus akan memberi kesan kebaikan kepada rakyat
dan negara. Ini adalah bagi memastikan usaha kita menyemarakkan ilmu akan memberi
kesan kepada generasi muda khususnya.

“Saya berasa gembira kerana kita berjaya menganjurkan festival ini buat pertama
kalinya. Walaupun program ini hanya berlangsung selama tiga hari saja sehingga Ahad
ini, tetapi tempoh yang singkat ini sudah cukup untuk kita berkongsi pengalaman dan
buah fikiran untuk membangunkan lagi perkembangan bahasa, sastera dan budaya di
rantau negara ini.

“Menerusi PEA ini juga, ia akan membina semula rangkaian hubungan yang baik,
dengan penulis, ilmuan dan budayawan di peringkat serantau, sama ada dari negara
Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, termasuk tokoh-tokoh budayawan di negara
kita sendiri,” katanya ssempena perasmian Festival Puisi Esei Antarabangsa (PEA)
2022 di Hotel Promenade di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Sehubungan itu Hajiji mahu pihak berkaitan antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Jabatan
Pendidikan Sabah agar terus memberikan komitmen membantu Badan Bahasa dan
Sastera Sabah atau BAHASA bagi memastikan PEA terkenal di seluruh negara dan di
peringkat global.

 

Katanya, PEA 2022 juga adalah program penting yang boleh dianggap sebagai Ikon
Sastera dan Budaya, Sabah Maju Jaya, yang turut membantu dalam aktiviti
pelancongan, terutama berkaitan seni dan budaya yang turut terjejas beberapa tahun
ini.

“Saya berharap program ini dapat membantu kerajaan untuk memulihkan semula
ekonomi melalui kehadiran pelancong berkaitan seni dan budaya ke negeri ini,”
katanya.

Sempena majlis itu, sebanyak lapan buah buku berkaitan puisi esei yang dihasilkan oleh
gabungan penulis dari Sabah, Semenanjung dan Sarawak serta negara luar seperti
Brunei dan Indonesia turut dilancarkan.

Penerbitan buku ini sudah pasti merancakkan lagi industri berkaitan sastera di Sabah.-pr/BNN