KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan geran peruntukan khas
sebanyak RM100,000 yang akan diberikan setiap tahun kepada Persatuan Persara
Kerajaan Sabah, bagi memudahkan pelaksanaan program dan aktiviti persatuan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mengumumkannya
berkata ia adalah antara empat inisiatif baharu untuk pesara sebagai bukti keprihatinan
kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

Tiga lagi inisiatif lain katanya, ialah yang pertama tambahan Bantuan Khas Kewangan
kepada pesara sebanyak RM150.00 yang akan dicarumkan dalam akaun i-Saraan,
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Inisiatif kedua, Kerajaan Negeri akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum
Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan,
selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Amanat
Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII).
“Inisiatif ketiga ialah Kerajaan akan menyediakan pejabat untuk pesara di beberapa
daerah yang akan dikenalpasti,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara
Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di Sabah International Convention
Centre (SICC), pada Selasa.

Ini merupakan julung kali majlis seumpama itu diadakan secara besar-besaran bagi
meraikan seramai 1,167 orang pesara daripada pelbagai gred yang telah bersara
sepanjang tahun 2019 hingga 2021.

Hajiji berkata, bagi menjaga kebajikan pesara sebagai aset penting, Kerajaan telah
menambahbaik kemudahan rawatan perubatan yang turut dipanjangkan untuk ibu-bapa
pesara berpencen dan pesara skim KWSP melalui surat edaran bertarikh 15 Februari
2021.

Menurutnya, pengiraan faedah persaraan untuk pegawai yang dipersarakan atas sebab
kesihatan juga telah ditambah baik dengan menambah tempoh perkhidmatan faedah
persaraan secara isyarat untuk tempoh perkhidmatan yang kurang daripada 359 bulan,
melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 5/2021.

Katanya, kerajaan juga telah meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti
Rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari, dan kebenaran penebusan awal award
GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

“Peningkatan jumlah maksimum ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam
negeri yang bakal bersara. Kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti
tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai yang akan meningkatkan jumlah wang
tunai yang diterima semasa bersara kelak”, tambahnya.

Hajiji berkata, gelaran sebagai pesara kerajaan membuka episod dan lembaran baharu
kepada pesara untuk menyumbang bakti dalam apa juga cara yang boleh mereka berikan
kepada masyarakat dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan ketika
bertugas dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, bagi pesara yang masih mempunyai tenaga dan semangat untuk terus
menabur bakti kepada kerajaan dan rakyat negeri Sabah, peluang dan ruang sentiasa
terbuka luas untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Katanya, Kerajaan Negeri akan merancang lebih banyak inisiatif meningkatkan
penglibatan pesara kerajaan yang berkemahiran dan berkepakaran dalam penetapan,
pemantauan dan penilaian keberkesanan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri.

Justeru beliau berharap pesara yang telah meninggalkan perkhidmatan Kerajaan akan
terus menyematkan semangat cintakan negara serta mengekalkan sokongan dan
keyakinan diri serta ahli keluarga kepada pemimpin serta Kerajaan yang sedang
memerintah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menggubal Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),
kerangka pelan pembangunan utama negeri untuk memayungi pelbagai blueprint
pembangunan sektoral yang akan bergerak seiring dengan agenda pembangunan
nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kita mahu semua pihak memahami bahawa Hala Tuju SMJ. Hakikatnya, SMJ adalah
hala tuju kita bersama, sebagaimana jata negeri adalah hak dan milik semua anak watan
Sabah. Saya berharap pesara perkhidmatan awam turut membantu untuk menjayakan
agenda pembangunan ini, khususnya berkongsi dalam bentuk kemahiran dan
kepakaran”, tambahnya.

Hajiji menegaskan, berkat kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha Kerajaan
telah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian
yang signifikan, dengan mengambil contoh bagi tahun 2021, Sabah telah melakar sejarah
baharu dengan kutipan hasil tertinggi sejak merdeka sebanyak RM5.449 bilion.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan
demi kesejahteraan rakyat tercinta. Kerajaan juga sedang dalam peringkat akhir
memuktamadkan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula
pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan
Persekutuan. Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambah pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan
hasil negeri”.

“Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu,
inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti
cukai, premium tanah dan royalti. Seperti yang saya umumkan pada 11 Oktober lalu,
bergantung kepada pergerakan harga minyak, Sabah boleh menjangkakan untuk
mengutip royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas dalam lingkungan
RM2.45 bilion setahun secara berterusan”, tegasnya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, Hajiji mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada semua pesara kerajaan yang telah menabur bakti bagi memastikan jentera
Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap
aspirasi Kerajaan semasa masih berkhidmat.-pr/BNN