KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Samsudin Yahya, yang meninggal dunia, pada petang Khamis.

Hajiji turut berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian
itu.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada
Datin Junaidah Aji dan keluarga atas kehilangan Allahyarham yang tersayang.

“Datuk Samsudin adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan baik serta telah
banyak menyumbang kepada negeri dan kawasannya sepanjang karier politiknya.

“Marilah kita sama-sama panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan
ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu
kenyataannya di sini, pada Jumaat.

Samsudin, 67, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong selama
empat penggal sejak 2004, difahamkan tidak sedarkan diri ketika dalam penerbangan
ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur, pada petang Khamis. -pr/BNN