KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Labuan yangkini mempunyai 11 buah ahli gabungan digesa bersama-sama membantu usaha kerajaan memajukan negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, masyarakat Foochow
telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah melalui
perdagangan dan perniagaan.

Sehubungan itu beliau berharap masyarakat Foochow terus berusaha untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi, terutama dalam membantu
pemulihan ekonomi selepas Pandemik COVID-19.

“Saya ingin melihat Gabungan Persatuan-Persatuan Foo Chow Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan melakukan lebih banyak lagi dan terus menyokong usaha kerajaan
negeri untuk memulihkan ekonomi negeri ini, termasuk dalam menjayakan pelan
pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Tahun Baru
Cina 2024 dan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Jawatankuasa Kepimpinan (2023-2025)
Penggal Ke-4, Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Wilayah
Persekutuan Labuan di Dewan Port View Palace, Wisma Hakka pada Jumaat.

Hajiji berkata, gabungan itu merupakan antara organisasi masyarakat Cina terbesar di
Sabah yang menghimpunkan pelbagai kekuatan dapat terus memperkukuhkan
perpaduan khususnya dalam kalangan ahli dan bersama-sama membawa
pembangunan dan perubahan bukan saja kepada komuniti Cina malah rakyat Sabah
secara keseluruhannya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua persatuan
tanpa mengira bangsa dan agama agar dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk
membangunkan rakyat dan negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan
dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan
agama.

“Ini jelas kerana dalam Belanjawan Sabah tahun 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56.75 juta untuk pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian”, tegasnya.

Hajiji berkata, semangat perpaduan merupakan tunjang kejayaan masyarakat Foochow
dalam pelbagai bidang. Malah Foochow juga terkenal sebagai masyarakat yang tabah
serta pintar dalam perniagaan dengan terbabit dalam sektor pembinaan, pembangunan
hartanah, infrastruktur, perladangan, perhutanan, farmasi dan juga perkhidmatan
professional.

Menurutnya, hampir semua bidang telah diterokai dan diceburi oleh masyarakat
Foochow, sekali gus memberi impak kepada pembangunan dan kemajuan fizikal dan
modal insan di negeri Sabah.

“Mereka telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan terkenal serta golongan
professional yang kompeten. Kegigihan, kejayaan dan budaya kerja yang diamalkan
oleh masyarakat Foochow wajar dicontohi oleh kaum-kaum lain di negeri ini”,
tambahnya.-pr/BNN