KG LUBOK, WESTON (BEAUFORT): Ahli-ahli pertubuhan peladang di kawasan Sipitang dan Beaufort perlu menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Datuk Mohd.Nazri Abdullah.
Katanya, sokongan dan undi daripada ahli-ahli peladang di akar umbi amat penting bagi memastikan kemenangan Matbali.
Menurutnya, Matbali yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia memang rapat dengan pemimpin dan ahli-ahli peladang di kedua-dua kawasan itu.
“Beliau juga sering menghadiri aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Di Sipitang dan Beaufort, selain sering menyuarakan masalah yang dihadapi oleh warga peladang, penternak dan nelayan semasa menjadi ADUN”.
“Pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat ini juga adalah ahli Pertubuhan Paladang unit Kampong Kabajang dalam PPK Beaufort perlu disokong dan diundi oleh ahli-ahli peladang di kedua kawasan Sipitang dan Beaufort”, katanya kepada pemberita dalam Majlis Perjumpaan Calon GRS Bersama Pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Lubok, malam tadi.
Nazri yang juga Pengerusi PPK Beaufort berkata, parti GRS yang diwakili oleh Matbali merupakan parti yang membentuk Kerajaan Negeri bersama Barisan Nasional (BN) Sabah.
Menurutnya, dengan hubungan baik Matbali bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Jemaah Kabinet Negeri yang lain, sudah pasti permasalah yang dihadapi oleh ahli-ahli peladang dapat dibawa kepada kepimpinan negeri untuk tindakan dan penyelesaian tuntas.
PRU 15 bagi kerusi Parlimen Sipitang menyaksikan pertandingan 3 penjuru diantara Matbali, calon Warisan, Datuk Adnan Puteh dan calon Pakatan Harapan (PH), Lahirul Latigu (PH).-pr/BNN