Pengagihan rumah PPRT dikaji semula

0
69
Ewon ketika ditemui pemberita di MESEJ Getah Kaingaran Tambunan
TAMBUNAN:  Pengagihan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap daerah di negeri ini akan dikaji semula.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Ewon Benedick berkata, ini penting agar rakyat yang benar-benar memerlukan kemudahan itu khususnya di kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada bantuan itu.
Oleh itu beliau mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai pengagihan rumah PPRT bagi memastikan ada keseimbangan dari segi pengagihan untuk rakyat yang tersenarai dalam e-kasih.
“Saya berpendapat bahawa, dalam membuat pengagihan rumah PPRT, kita perlu mengambil kira daerah mana yang tidak mempunyai program perumahan yang lain seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain program perumahan yang terdapat di sesebuah daerah tersebut, khususnya daerah yang berhampiran dengan kawasan bandar seperti Kota Kinabalu.
“Dari segi pengagihan bantuan rumah seperti ini, saya melihat, ada daerah yang lebih memerlukan rumah PPRT seperti Tambunan dan daerah-daerah lain yang tiada rumah PPR supaya lebih banyak peserta e-kasih dapat diberikan kemudahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan di Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kaingaran Tambunan, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Sualim Sanan, Pegawai Daerah Tambunan Thomas Logijin, Pegawai Wilayah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Negeri Sabah Alexius Madiun, Penasihat Upko Keningau Datuk Dr.Laurentius Nayan Ambu, pegawai-pegawai KPLB Sabah dan LIGS.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, cadangan keperluan mengkaji semula pengagihan PPRT itu telahpun dimaklumkan kepada Menteri KPLB Pusat Rina Harun dan Bahagian Kesejahteraan Rakyat KPLB Pusat.
“Kita akan adakan beberapa siri perbincangan mengenai perkara ini. Kita harus membuat pengagihan secara lebih adil mengikut keperluan rakyat yang benar-benar memerlukannya di daerah kawasan luar bandar dan daerah berdekatan dengan bandar.
“Keperluan di daerah luar bandar dan daerah yang berdekatan dengan bandar adalah dua situasi yang berbeza, oleh itu kita harus mengambil pendekatan yang lebih saksama agar objektif program ini mencapai sasaran,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun hadapan, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah bina baharu di bawah PPRT.
Katanya, pendekatan itu diambil bagi mengurangkan program baik pulih rumah memandangkan aspirasi rakyat yang sebenar ialah memerlukan rumah bina baharu.
“Ada juga keperluan untuk baikpulih rumah tetapi saya berpandangan adalah lebih baik kita perbanyakkan program bina rumah baharu. Inilah pandangan saya, pandangan rasmi KPLB Sabah bahawa rumah bina baharu itu lebih utama,” katanya.
Ewon berkata, KPLB bercadang untuk membina 3,000 unit rumah baharu PPRT di seluruh Sabah tahun depan.
“Kita telahpun mengemukakan permohanan ini kepada KPLB Pusat tetapi kami dimaklumkan bahawa semuanya tertakluk kepada Belanjawan 2019 kerajaan Persekutuan yang kini sedang dirangka dan akan dibentangkan di Parlimen, katanya.-pr/BNN