TENOM: Penyelaras Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P.181 Tenom, Datuk Rubin Balang kesal terhadap tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta Ketua Menteri Sabah mengambil tindakan terhadap dirinya, termasuk memecatnya daripada jawatan dalam GLC Kerajaan.

Ini berikut dakwaan bahawa beliau terlibat menyokong dan membantu kempen anaknya, Riduan Rubin yang bertanding atas tiket Bebas (lambang Gajah) di kerusi Parlimen Tenom.

Beliau menjelaskan, keputusan calon bebas, Riduan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) adalah keputusan dirinya sendiri setelah mendapat tawaran daripada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.

Katanya, pada 11 November 2022, Peter telah memanggil Riduan dan menawarkannya menjadi Ahli KDM, iaitu sebelum hari pembuangan undi bagi mengelakkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

“Saya difahamkan setelah Riduan dan penyokong-penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, pihak Peter telah menghubungi saya dan meminta saya datang ke pejabat Parti KDM.

“Mereka telah bertanya adakah saya membantah Riduan menyertai KDM. Saya memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa, memandangkan Riduan bukan lagi ahli BERSATU kerana telah meletak jawatan daripada parti, sebelum hari penamaan calon lagi.

“Selepas pertemuan singkat itu saya kemudiannya terus keluar dan beredar dari Pejabat KDM”, katanya dalam kenyataan bagi mengulas dakwaan beliau telah melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada PRU Ke-15.

Sehubungn itu, Rubin amat kesal dengan tindakan dan gesaan oleh Bung yang telah meminta Ketua Menteri mengambil tindakan terhadap dirinya supaya dipecat daripada jawatan GLC, tanpa fakta sebenar.

Rubin yang juga ADUN Kemabong berkata, harus diingat bahawa pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) 2020 yang lalu, beliau bertanding atas tiket Bebas.

“Setelah menang sebagai ADUN Bebas, saya dan rakan-rakan ADUN Bebas lain iaitu Datuk Masiung Banah dan Datuk Rudi Awah telah dijemput untuk bersama-sama membantu menubuhkan Kerajaan Negeri iaitu diantara GRS dan BN/Umno. Hasil daripada permuafakatan itu maka terbentuklah Kerajaan Negeri GRS-BN pada hari ini.

“Dibawah kabinet Kerajaan GRS-BN yang terbentuk, mereka mendapat jawatan penting, termasuk Bung yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

“Sekarang setelah Kerajaan Negeri GRS-BN memerintah lebih 2 tahun, saya pula hendak dihalau keluar oleh mereka hanya disebabkan perasaan marah oleh Calon BN/Umno Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar hanya disebabkan keputusan anak saya, Riduan bertanding sebagai Calon Bebas.

“Bung sepatutnya sedar bahawa adalah tidak adil untuk melarang mana-mana pihak yang layak dan berminat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kerana ini adalah negara demokrasi.

“Tindakan dan keputusan Riduan bertanding Calon Bebas, itu adalah kehendak dirinya dan penyokong-penyokongnya. Beliau berhak menentukan masa depan dan perjuangan politiknya.

“Saya berharap Bung yang matang dalam politik agar tidak mudah terpengaruh oleh laporan tidak berasas oleh Jamawi yang sengaja mahu menjejaskan nama baik saya,” katanya.-pr/BNN