BEAUFORT: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN)
mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi potensi Sipitang berdasarkan
kemudahan untuk industri minyak dan gas yang tersedia di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkara itu lebih
mudah untuk direalisasikan jika calon kerajaan negeri yang bertanding atas tiket GRS, Datuk Matbali Musah memenangi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum
Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, GRS juga akan mencadangkan supaya Matbali dilantik sebagai Timbalan
Menteri Persekutuan jika memenangi kerusi berkenaan agar usaha membawa
perubahan yang besar di daerah itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Banyak yang kita dapat lakukan di Sipitang jika Matbali menjadi Ahli Parlimen
berdasarkan potensi yang ada di kawasan ini dan kita juga akan mencadangkan
supaya beliau menjadi Timbalan Menteri Persekutuan jika menang nanti”.

“Di Sipitang ini, kita ada Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan
kita sudah merancang untuk mengembangkan lagi taman ini agar dapat menjana lebih
banyak aktiviti ekonomi di sini”.

“Kerajaan GRS-BN juga sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU)
dengan lapan syarikat besar di SOGIP membabitkan pelaburan kira-kira RM20 bilion.
Ini boleh mewujudkan antara 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan”.

“Jadi, bayangkan apabila ini terlaksana nanti, Sipitang pasti akan jadi daerah yang
maju,” katanya pada Program Pemimpin Bersama Rakyat Pengerusi GRS dan Calon
GRS Sipitang di Bandar Mingo, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, dengan dasar mesra pelabur dilaksanakan
kerajaan negeri, lebih banyak pelaburan disasar dibawa masuk ke negeri ini bukan
saja ke Sipitang, malah ke daerah lain termasuk di Kota Kinabalu.

“Banyak lagi pelaburan lain selain di SOGIP termasuk di Kota Kinabalu dan daerah
lain, saya akan umumkan nanti apabila sudah dibuat perjanjian”.

“Maknanya, dengan dasar mesra pelaburan, kita dapat tarik banyak pelabur datang. Keutamaannya ialah untuk mewujudkan peluang kerja,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menjelaskan Matbali dipilih sebagai calon kerusi Parlimen
Sipitang selepas penyandangnya, Datuk Yamani Hafez Musa tidak mahu
mempertahankan kerusi berkenaan yang disandangnya selama sepenggal.

Katanya, Yamani yang juga Timbalan Menteri Kewangan II ada berjumpa dengannya
sebelum pengumuman calon GRS awal bulan ini menyatakan yang beliau tidak mahu
bertanding lagi di kerusi berkenaan.

“Beliau jumpa saya dan beliau sendiri menyatakan tidak ingin bertanding lagi dalam
PRU15 ini. Saya telah beri peluang kepada beliau saya nyatakan, fikir baik-baik
kerana Yamani pemimpin muda dan berwibawa, malah menjadi Timbalan Menteri
Kewangan”.

“Beliau mempunyai masa depan yang cerah sebagai pemimpin dari Sabah tapi beliau
sendiri menyuarakan kepada saya dan datang ke rumah memberitahu saya beliau
tidak mahu bertanding lagi,” katanya.

Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Matbali melaksanakan
tugas sebagai Ahli Parlimen apabila diberi mandat pada PRU15 bagi menggantikan
Yamani dalam usaha membawa perubahan di Sipitang.

“Beliau tidak kurang hebat daripada calon lain atau pemimpin lain kita di Sipitang. Dengan memberi peluang kepadanya bermakna rakyat Sipitang mahukapembangunan dan kemajuan di sini kerana beliau adalah calon kerajaan negeri,” katanya. -pr/BNN