SANDAKAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) menafikan tuduhan meminggirkan masyarakat Cina berikutan tiada wakil mereka
dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri dalam Kabinet Negeri ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun tiada wakil
masyarakat Cina dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri, namun mereka tetap
diberi peranan penting dalam kerajaan menerusi lantikan tertentu.
“Memang hasrat saya mahu melantik pemimpin Cina dalam Kerajaan Negeri sebagai
menteri tapi kita pun tahu bahawa dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu,
tiada satu pun daripada calon kita dalam kalangan kaum Cina yang menang”.
“Tetapi kali ini apabila tiba PRN akan datang, bagilah sokongan kepada pemimpin Cina
yang akan jadi calon GRS, kita akan bagi jawatan menteri dan pembantu menteri,”
katanya pada Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan
Hakka Sandakan, di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi GRS menjawab tuduhan Presiden Parti Warisan
(WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai ketiadaan wakil masyarakat Cina
dalam Kabinet Kerajaan Negeri GRS-BN ketika ini.
Hajjiji menjelaskan, Kerajaan Negeri ada melantik pemimpin Cina dalam jawatan
penting Kerajaan Negeri termasuk dua bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yong
Teck Lee dan Tan Sri Chong Kah Kiat.
Katanya Kah Kiat dilantik sebagai penasihat beliau dalam bidang pelancongan,
manakala seorang lagi pesara kerajaan mewakili masyarakat Cina dilantik sebagai
penasihat kewangan.
“Walaupun demikian kita lantik juga pemimpin Cina, bekas Ketua Menteri, selain Datuk
Seri Panglima Yong Teck Lee, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai penasihat saya dalam
pelancongan dan seorang pesara Cina dilantik sebagai penasihat kewangan saya”.
“Saya tubuh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan ketuanya serta timbalannya adalah
pemimpin masyarakat Cina yang berpengalaman dalam perniagaan dan banyak lagi
kita lantik”.
“Tapi Shafie cakap kenapa tidak lantik (Cina). Dia pun tahu pada PRN lalu kita tidak
menang dari kawasan Cina, dia sengaja ungkit sentimen perasaan Cina, tapi saya yakin
masyarakat Cina bijak dan pandai menilai, tahu kewajaran dan rasional apa juga yang
kita lakukan,” katanya.
Hajiji berkata, sentimen seperti itu tidak seharusnya dimainkan dalam politik, semata-
mata untuk menarik sokongan kaum Cina.
Jelasnya, apa yang seharusnya diutamakan ketika ini ialah usaha untuk memulihkan
ekonomi dan memajukan Sabah untuk manfaat dan kebaikan rakyat keseluruhannya.
“Dalam politik kita tidak boleh main sentimen, sebaliknya yang paling penting ialah kerja
kita memulihkan ekonomi dan memajukan negeri. Itu yang penting tapi kalau kita main
politik, tidak buat apa-apa seperti pada zaman WARISAN hanya pandai cakap sana
sini”.
“Saya mahu tanya Shafie, apa dia sudah buat ketika menjadi Ketua Menteri selama dua
tahun dulu. Apa dia buat ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
dulu?”.
“Kelmarin saya ke Semporna, saya sedih dia (Shafie) cakap kita reset Sabah, tapi
sepatutnya reset dulu Semporna itu. Bayangkan kebakaran pada 2015 semasa dia
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang ada kuasa buat rumah bantu mangsa
kebakaran, dia tidak dapat lakukan”.
“Sehingga menjadi Ketua Menteri dan kerajaannya jatuh, masalah bantuan untuk
mangsa kebakaran tidak pernah dia jayakan,” katanya.
Sebaliknya, Hajiji berkata, calon Kerusi Parlimen Semporna itu, apabila bercerita
mengenai Sabah cukup pintar, malah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) kerana
menganggap tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak memadai.
“Apa itu jawatan TPM, PM bah dia bilang. Tapi, tengok diri dulu, bagaimana sokongan
kita. Di Sabah pun jadi kerajaan kerana ada orang ikut atau lompat, bukan dapat mandat
rakyat”.
“Dia (Shafie) jadi Ketua Menteri bukan atas mandat rakyat, tapi sokongan orang lompat
menyokong beliau”.
“Ini lain dengan GRS-BN, kita dapat mandat pada PRN lalu, rakyat mengundi kita,
sokong kita. Ini kenyataan dan kerana itu kita tubuh kerajaan campuran GRS-BN dan
dalam PRU ini juga kita bersama BN,” katanya.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan calon GRS bagi kerusi Parlimen Sandakan, Kapitan
Thomas Lau, sebagai seorang yang berkelayakan dan berpengalaman dalam
membantu membawa perubahan di Sandakan jika diberi mandat pada PRU15 ini.
“Saya kenal kapitan ini waktu saya menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan
dulu, beliu ketika itu ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)”.
“Orangnya berpengalaman, beliau mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran
pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerana itulah setelah berbincang dengan Presiden
SAPP, saya tidak ragu merestui kapitan Thomas Lau menjadi calon kita di Sandakan”.
“Disebabkan beliau mempunyai pengalaman yang luas, beliau mempunyai satu visi
yang jauh dan baik untuk membangunkan ekonomi Sandakan pada masa akan datang”.
“Jadi kita kena pilih beliau kerana beliau adalah calon Kerajaan Negeri. Kalau pilih orang
lain tidak mungkin boleh mengangkat masalah dan permintaan daripada masyarakat
Cina di Sandakan kepada kerajaan negeri atau persekutuan,” tegasnya.-pr/BNN