SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Muafakat Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) dapat memenangi lebih
daripada 15 kerusi parlimen di Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Saya ingin nyatakan kita (Muafakat GRS-BN) mungkin akan dapat (memenangi) lebih
dari 15 kerusi parlimen di Sabah”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri MajlisBersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa BN mensasarkan untuk
memenangi sekurang-kurang 15 kerusi Parlimen di Sabah melalui kerjasama dengan
GRS pada PRU kali ini.

Ismail Sabri berkata, beliau berkeyakinan semangat kerjasama BN-GRS yang dilihat
menerusi perpaduan akrab jentera kedua-dua gabungan itu, mampu mencapai sasaran
berkenaan, termasuk di Parlimen dalam zon lima Sabah merangkumi Beluran, Libaran,
Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.

“Di Sabah, saya difahamkan (BN-GRS) minimum boleh menyumbang 15 kerusi
(Parlimen) kepada (pembentukan) Kerajaan Persekutuan. Pembentukan Kerajaan
Persekutuan adalah bergantung pada kerusi Sabah”, katanya.

Pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Program
Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum, dekat sini kelmarin.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya di majlis itu berkata, Kerajaan Negeri GRS-BN
menekankan politik pembangunan dan politik perpaduan sebagai landasan untuk
membawa kestabilan dan kemajuan di negeri ini.

Katanya, kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya,
berbanding pendekatan politik mengikut emosi hingga rakyat dan kawasan tidak terbela.

Beliau berkata, atas sebab itu rakyat di negeri ini perlu memberi kemenangan kepada
calon GRS-BN pada PRU15 supaya rakyat di semua kawasan mendapat pembelaan
yang sewajarnya daripada kerajaan.

“Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan,
kemajuan dan politik perpaduan. Jangan pakai perasaan, ada yang kita tidak senang
hati sikit-sikit, tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi”.

“Kalau mengundi calon yang tidak boleh membentuk kerajaan pun lagi rugi, buang masa, rugi saja. Jadi, pilihlah calon Nombor Lima (calon GRS Batu Sapi, Khairul Firdaus
Akbar Khan),” katanya.

Beliau yang berkempen membantu calon GRS meminta penduduk di Batu Sapi, termasuk di Kampung Bongaya Baru supaya mengundi Khairul Firdaus pada Sabtu ini untuk memastikan kemenangan calon GRS itu.

“Bagilah undi kepada beliau, insyaAllah dia akan bawa masalah di kampung ini kepada
saya dan kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan”.

“Kita mesti menggunakan kebijaksanaan kita, kita tidak boleh berpolitik secara emosi,
sebaliknya kita mesti bijak memikirkan apa yang perlu di kampung ini”.

“Kita tidak mahu melihat rakyat di sini berdepan dengan masalah bertahun- tahun
seumpama ini,” katanya.

Hajiji berkata, GRS-BN komited dan berusaha untuk membawa Sabah maju ke depan
dengan sasaran untuk meletakkan Sabah menjadi sebuah negeri yang maju pada masa
akan datang.

Katanya, Sabah mempunyai sumber yang banyak tetapi disebabkan politik, rakyat dan
pemimpinnya berpecah belah sebelum ini menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi
kemajuan.

“Jadi cara paling baik untuk kita maju ke depan ialah dengan bersatu padu, bersatu hati
dan jangan kita berpecah belah dalam politik ini”.

“Kalau ini kita boleh lakukan, maka insyaAllah Sabah akan menjadi sebuah negeri yang
akan terus meningkat maju pada masa akan datang”.

“Kita sudah merangka program untuk kesejahteraan rakyat kita, perumahan, jalan luar
bandar, air, elektrik dan juga kita sudah buat yang terbaik untuk memulihkan ekonomi
kita selepas pandemik Covid-19,” tegasnya.

Katanya, usaha untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah juga menjadi asas
pembentukan GRS yang mewakili pelbagai kaum dan latar belakang di Sabah serta
bersama dengan BN untuk memerintah Sabah.

“Ini kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang
lalu dan tugas kami adalah untuk membawa perubahan dan merancang pembangunan
negeri ini melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.-pr/BNN